Malaysia Dalam Senarai Manipulator Mata Wang Bukti Ekonomi Kukuh

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berharap Malaysia dikeluarkan daripada senarai Pemantauan Negara Pemanipulator Mata Wang Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS).

Beliau bagaimanapun menegaskan kemasukan Malaysia ke dalam senarai itu sebenarnya menonjolkan kekukuhan negara serta peranan Malaysia dalam ekonomi dunia.

“Laporan terkini itu tidak menamakan Malaysia sebagai manipulator mata wang. Tetapi saya ingin beri jaminan bahawa kita akan memastikan kita sekadar berada dalam senarai itu dan kalau boleh dikeluarkan daripada senarai ini.

“Tetapi bukan dengan memastikan prestasi kewangan jatuh menjunam. Tetapi tidak dilabelkan sebagai manipulator mata wang,” katanya di Dewan Rakyat menjawab soalan daripada ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee.

Ronald meminta menteri kewangan menjelaskan laporan akhbar kewangan Bloomberg yang menyebut tentang kemungkinan Malaysia dimasukkan semula ke dalam senarai negara yang memanipulasi mata wang Amerika Syarikat dan kesannya kepada ekonomi negara serta langkah yang diambil kerajaan bagi menanganinya.

Dalam pada itu Guan Eng berkata, Malaysia dimasukkan ke dalam senarai pemantauan itu atas dua faktor, iaitu mempunyai lebihan dagangan dengan AS melebihi AS$20 bilion setahun dan mempunyai lebihan akaun semasa yang sihat melebihi dua peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Kedua-dua faktor ini hanya menonjolkan daya saing ekonomi Malaysia, bukannya bukti berlakunya manipulasi mata wang,” katanya. – FMT

Loading...