Malaysia, China Memeterai 3 Perjanjian

BEIJING – Malaysia dan China hari ini memeterai tiga memorandum persefahaman (MoU), termasuk persetujuan negara ekonomi kedua terbesar dunia itu menambah pembelian minyak sawit dalam tempoh lima tahun akan datang.

Majlis berkenaan berlangsung pada pertemuan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan rakan sejawatannya, Li Keqiang, di Rumah Tamu Negara Diaoyuetai, di sini.

Perjanjian membabitkan peningkatan perdagangan minyak sawit dan kerjasama dalam pembangunan taman perindustrian, infrastruktur, hab logistik dan pembangunan berasaskan transit berkaitan projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta pembangunan projek Bandar Malaysia yang diteruskan semula.

MoU pertama ditandatangani oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Dewan Perniagaan China bagi Import Eksport Makanan, Produk Asli dan Produk Sampingan Haiwan (CFNA).

Menerusi MoU itu, China akan membeli tambahan 1.9 juta tan minyak sawit dari Malaysia, dianggar bernilai RM4.56 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang, selain melabur sekurang-kurangnya RM2 bilion dalam kilang penapis bahan api pesawat berasaskan minyak sawit.

China dan Malaysia juga bersetuju bekerjasama dalam meningkatkan penggunaan mata wang yuan bagi perdagangan minyak sawit, dengan keizinan Bank Negara Malaysia (BNM).

China adalah pembeli minyak sawit Malaysia ketiga terbesar, dengan import berjumlah 1.9 juta tan tahun lalu.

Malaysia giat mengurangkan simpanan minyak sawit yang mencecah paras tertinggi dalam 19 tahun Disember lalu, untuk meningkatkan harga komoditi itu.

MoU kedua ditandatangani Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan China Communication Construction Company Ltd. (CCCC), manakala yang terakhir membabitkan IWH CREC Sdn. Bhd. bersama kerajaan Malaysia berhubung kerangka persetujuan pembangunan projek Bandar Malaysia.

Perdana Menteri berada di sini bagi menghadiri Forum Belt and Road Forum (BRF) Bagi Kerjasama Antarabangsa bermula hari ini.

Selain Keqiang, Dr. Mahathir turut mengadakan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan, Li Zhanshu.

Pegawai menyifatkan pertemuan Dr. Mahathir dengan tiga pemimpin utama China merangkumi presiden, perdana menteri dan pengerusi kongres bagi mengadakan perbincangan dua hala sebagai penghormatan besar buat Malaysia.

Pada mesyuarat bilateral bersama Jinping, Dr. Mahathir memberitahu Presiden China itu kunjungannya ke Beijing adalah untuk mempelajari secara mendalam inisiatif Belt and Road republik itu.

Perdana Menteri berkata, Malaysia adalah satu daripada negara menerusi laluan Belt and Road.

“Saya yakin inisiatif itu mempunyai impak terhadap Malaysia,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan pembangunan teknologi dan bagaimana ia boleh merapatkan komunikasi antara Barat dan Timur.

Dr. Mahathir turut menghadiri majlis makan malam meraikannya yang dihoskan Zhanshu.

Esok, Perdana Menteri dijadual menghadiri majlis perasmian BRF.

Forum bertema ‘Kerjasama Belt and Road: Membentuk Perkongsian Masa Depan Lebih Gemilang’ tahun ini, adalah dialog peringkat tertinggi sejak visi Inisiatif Belt and Road (BRI) diilhamkan oleh Jinping empat tahun lalu.

Ia dihadiri wakil lebih 130 negara, termasuk 37 pemimpin kerajaan asing dan ribuan lagi daripada pelbagai lapisan masyarakat. Semua 10 pemimpin ASEAN menghadiri forum tahun ini. – BH Online