Malaysia Bebas Jangkitan Cacar Monyet

PETALING JAYA – Malaysia setakat ini bebas daripada jangkitan cacar monyet, tetapi Kementerian Kesihatan memberi ingatan supaya rakyat menerima vaksin dahulu jika bercadang melawat Afrika Barat dan Afrika Tengah.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lee Boon Chye berkata, rakyat yang pulang dari kawasan berisiko khususnya Nigeria diminta mendapat rawatan segera jika menunjukkan tanda-tanda cacar, demam dan sakit kepala.

Beliau berkata, orang ramai bagaimanapun tidak perlu takut untuk melawat Singapura kerana republik itu bukan kawasan wabak.

“Kerajaan Singapura juga telah mengasingkan pesakit yang berada di situ, jadi tidak perlu bimbang,” katanya kepada Sinchew Daily.

Kementerian Kesihatan Singapura sebelum ini mengesahkan menerima satu kes import jangkitan cacar monyet membabitkan seorang rakyat Nigeria.

Lelaki berusia 38 tahun itu diuji positif dijangkiti cacar monyet, penyakit jarang ditemui akibat sejenis virus yang dipindahkan kepada manusia daripada haiwan.

Pesakit itu dilaporkan mungkin dijangkiti kerana termakan daging haiwan liar yang tercemar semasa satu majlis perkahwinan.

Mangsa ketika ini ditempatkan di wad isolasi di Pusat Penyakit Berjangkit (NCID) dan dalam keadaan stabil.

Boon Chye berkata, penyakit yang berlaku di Afrika Barat dan Tengah itu jarang berjangkit antara manusia.

“Walaupun jangkitan antara manusia boleh berlaku, tetapi ia dijangkiti melalui hubungan yang intim dan hubungan dengan pesakit untuk jangka masa panjang.

“Jangkitan daripada haiwan pula berlaku melalui pengambilan daging yang dijangkiti. Jangkitan bagaimanapun lebih mudah berlaku melalui sentuhan dengan bangkai haiwan,” katanya.

Menurutnya lagi, pesakit boleh pulih dalam dua hingga empat minggu manakala kadar kematian dalam kalangan pesakit ialah 10 peratus.

Loading...