Malaysia Bakal Jadi Negara ‘Lalok’?

SHAH ALAM – Malaysia bakal menjadi sebuah negara ‘lalok’ jika cadangan untuk menanam ganja walaupun untuk tujuan perubatan tetap diteruskan kerana negara ketika ini berhadapan dengan masalah ketagihan rokok yang serius.

Menurut seorang pakar perubatan, Prof. Dr. Imelda Balchin, berdasarkan kajian terdapat kira-kira 50 peratus lelaki Malaysia yang merokok didapati mempunyai ketagihan dan dibimbangi semakin meningkat jika ganja ditanam dinegara ini.

“Kalau kita membenarkan penanaman ganja walaupun untuk tujuan kajian perubatan sekali pun, ini boleh memberi peluang kepada pihak yang tidak beretika untuk mengambil kesempatan untuk menyalahgunakan ganja,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas, cadangan ADUN Jeram dari PH, Mohd Shaid Rosli kepada Kerajaan Selangor untuk mempertimbangkan tanaman ganja di negeri tersebut bagi tujuan perubatan.

Dalam pada itu, Imelda yang juga Pakar Obstetrik Dan Ginekologi dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkata, terdapat beberapa kebimbangan yang boleh berlaku sekiranya kerajaan negeri Selangor membenarkan perkara tersebut.

“Pertama, terdapat ramai ‘founder’ atau penjual produk yang tidak beretika di negara ini yang menjual produk dengan tuntutan kesihatan tanpa bukti keberkesanannya dan memberikan pelbagai testimoni untuk mewajarkan penggunaan sesuatu ubat.

“Kedua, masyarakat kita pula sering perdaya dengan orang yang tidak beretika ini dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi mereka daripada penipuan.

“Ketiga penguatkuasaan undang-undang di negara kita masih belum kuat untuk mengekang masalah penjualan produk dengan tuntutan kesihatan palsu,” ujar beliau.

Imelda menjelaskan, dari segi perubatan, tiada sebarang bukti atau kajian di peringkat antarabangsa yang mengatakan bahawa penggunaan ganja atau kanabis mampu untuk menyembuhkan penyakit tertentu.

Jelasnya, penggunaan ganja dalam perubatan boleh membantu ‘pengawalan simptom’ hanya untuk beberapa jenis masalah perubatan sahaja, namun ini bukanlah rawatan utama, iaitu hanya digunakan sebagai ‘adjunct’ atau tambahan jika rawatan utama tidak meredakan simptom pesakit.

“Sebagai contoh, untuk meredakan muntah-muntah selepas rawatan kimoterapi, untuk meredakan sakit saraf atau neuropathic pain dan kekejangan otot atau multiple sclerosis, tetapi ubat-ubat lain yang lebih berkesan harus digunakan terdahulu sebelum mencuba ubat yang dibuat dari bahan ganja.

“Tidak semua doktor boleh memberikan bahan ini, hanya doktor pakar yang berpengalaman dalam penggunaannya,” jelas beliau. – Sinar Harian

Loading...