Malaysia, Arab Saudi Bincang Isu Haji Tahun Ini

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, akan mengadakan pertemuan dengan Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan, bagi membincangkan isu berhubung ibadat haji tahun ini.

Zulkifli berkata, beliau akan membuat kunjungan hormat itu pada 7 April ini, sekali gus berharap perbincangan berkenaan dapat memberi manfaat kepada semua.

“Kita akan membincangkan apa langkah terbaik, serta mendapatkan maklumat terkini dan terakhir berkenaan isu ini.

“Selepas itu, barulah kami akan membuat kenyataan,” katanya pada program Jendela Fikir: Ujian & Hikmah COVID-19 yang disiarkan menerusi Bernama Radio, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Muhammad Saleh Taher Banten, yang meminta negara di seluruh dunia menunggu dahulu daripada membuat persediaan akhir mengerjakan haji tahun ini sehingga keadaan wabak COVID-19 pulih.

Dalam temu bual dengan TV al-Ikhbaria, Muhammad Saleh turut berkata, wang akan dikembalikan kepada mereka yang sudah mendapat visa umrah tetapi tidak dapat melaksanakannya disebabkan langkah berjaga-jaga yang sedang diambil Kerajaan Arab Saudi.

Sementara itu, Zulkifli turut menasihati masyarakat supaya melakukan perkara bermanfaat sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, umat Islam digalak memperbanyakkan membaca al-Quran, berzikir dan menunaikan solat berjemaah di rumah.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi menyeru jemaah yang menghadiri Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling, baru-baru ini, supaya melakukan pemeriksaan kesihatan.

Loading...