Malaysia Airlines Elak Ruang Udara Iraq

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines mengelak daripada menggunakan laluan udara Iraq bagi penerbangan dua hala untuk destinasi London, Jeddah dan Madinah.

Ia susulan Iran melancarkan tembakan roket ke atas dua pangkalan tentera AS awal pagi tadi rentetan insiden pembunuhan Panglima Tentera Iran, Qasem Soleimani, dalam serangan tengah malam di Iraq yang diluluskan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Jumaat lalu.

Malaysia Airlines dalam kenyataannya berkata, pihaknya aktif menjalankan pengawasan menerusi sistem pengawasan penerbangan dan dibantu pelbagai laporan pentaksiran termasuk keselamatan global.

“Selain itu, kita turut dibantu dengan Notice to Airmen (NOTAM) dikeluarkan pihak berkuasa kawalan ruang udara setiap negara.

“Semua pesawat kita turut dilengkapi Komunikasi Satelit (SATCOM) bagi berkomunikasi secara terus bagi sebarang maklumat kritikal dan tindakan, termasuk mengatur semula laluan. Keselamatan adalah faktor amat penting bagi kami,” katanya.

Soleimani, 62, yang mengetuai sayap luar negara Pengawal Revolusi, dianggap sebagai tokoh kedua paling berpengaruh selepas Khamenei.

Ekoran itu, kumpulan pro-Iran meningkatkan ancaman ke atas aset AS dengan peluru berpandu dan memberi amaran kepada tentera Iraq, sebahagian daripada kemarahan berhubung pembunuhan Soleimani.

Iran berjanji membalas dendam, pembunuhan Soleimani adalah peningkatan ketegangan paling dramatik antara Washington dan Teheran, mencetuskan kebimbangan pertelingkahan besar di Asia Barat.

Rentetan itu Trump, Ahad lalu, memberi amaran AS menyasarkan 52 lokasi di Iran dan akan menyerang ia dengan ‘amat pantas dan amat keras’ jika republik itu menyerang rakyat atau aset AS.

AS sebelum ini dilapor, cuba menghalalkan pembunuhan Soleimani di bawah Artikel 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang meliputi hak individu atau kolektif untuk mempertahankan diri daripada serangan bersenjata.

Menurut Artikel 51, negara perlu segera melaporkan kepada Majlis Keselamatan yang mengandungi 15 negara anggota mengenai sebarang langkah yang diambil dalam melaksanakan hak mempertahankan diri.

Trump sebelum ini mendakwa Soleimani merancang untuk menyerang aset dan warga AS di Baghdad. – BH Online

Loading...