Malas Bergerak Punca 70,000 Orang Mati Setahun

LONDON – Satu kajian mendakwa kira-kira 70,000 kematian direkodkan di Britain pada setiap tahun berpunca daripada sikap malas bergerak termasuk duduk terlalu lama di tempat kerja atau menonton televisyen pada hujung minggu.

Penyelidik daripada Universiti Queen’s Belfast dan Universiti Ulster mendakwa tabiat itu meningkatkan risiko penyakit berbahaya serta memendekkan jangka hayat dan menyebabkan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) menanggung kos £700 juta (RM3.7 bilion) setahun.

“Bahaya kerana tidak bergerak meningkatkan risiko obesiti, menjejaskan hormon badan, metabolisme dan juga fungsi otak,” menurut laporan dalam Journal of Epidemiology & Community Health baru-baru ini.

Selain obesiti, gaya hidup tidak aktif itu turut berkait rapat dengan kencing manis, beberapa jenis kanser, menjejaskan memori dan mood, malah menyumbang kepada jangka hayat pendek dalam semua jenis punca kematian.

Kajian itu turut merumuskan individu yang kerap ke gimnasium tidak terkecuali jika mereka menghabiskan baki hari dengan duduk atau malas bergerak.

“Duduk terlalu lama mempunyai impak negatif terhadap kesihatan badan dan ada yang menyamakannya dengan merokok. Saya rasa perumpamaan itu sesuai dan tidak melampau,” kata pakar kesihatan dan penuaan otot Universiti Birmingham, Dr. Carolyn Grieg. – Agensi

Loading...