Malang Bola Sepak Indonesia

JAKARTA – Indonesia menggantung permainan dalam liga bola sepak profesional utamanya selepas penyokong sebuah pa­sukan lawan membelasah seorang peminat sehingga mati dengan menggunakan batang besi dan kayu, kata seorang jurucakap persatuan bola sepak semalam.

Keputusan itu menyusul selepas kematian peminat kelab bola sepak Persija Jakarta, Haringga Sirla, 23, yang dipukul oleh sekumpulan penyokong kelab Persib Bandung di luar sebuah stadium di bandar Bandung, 150 kilo­meter ke tenggara Jakarta hujung minggu lalu.

Insiden pada Ahad lalu itu merupakan kematian terbaharu melibatkan sukan bola sepak di Indonesia. Polis berkata, pihaknya telah menahan 16 suspek berkaitan kes itu.

“Kami memutuskan bahawa kami menangguhkan kejohanan Liga 1 untuk tempoh yang belum ditetapkan,” kata pengarah media Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI), Gatot Widagdo kepada agensi berita AFP.

“Kami mahu memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah ini,” tambahnya.

Menurut Gatot, penangguhan tersebut bagi memberi masa untuk menyiasat kes kematian peminat bola sepak tersebut, manakala prosedur keselamatan dalam kalangan 18 buah kelab Liga 1, peminat dan pengendalinya, PT Liga Indonesia Baru juga akan disemak semula.

PSSI turut memberitahu bahawa pihaknya akan mengadakan rundingan dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persekutuan Bola Sepak Asia sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengelakkan sekatan oleh FIFA, kata Gatot lagi.

Sukan bola sepak Indonesia dibelenggu pelbagai masalah sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk kelemahan pengurusan, dakwaan rasuah dan pemain import daif akibat tidak dibayar gaji sehingga tidak mampu membayar bagi rawatan perubatan.

Pergaduhan antara persatuan bola sepak tempatan dengan pemerintah mendorong FIFA mengharamkan penyertaan Indonesia dalam kejohanan antarabangsa 2015 sebelum larangan itu ditarik balik tahun lalu. – AFP/KOSMO ONLINE

Loading...