Makmum Tidak Cukup Untuk Solat Jumaat Akibat Banjir

RANTAU PANJANG – Sembahyang Jumaat di Masjid Kubang Rambutan, di sini, hari ini, terpaksa digantikan dengan solat fardu zuhur berjemaah akibat jumlah makmum tidak mencukupi susulan jalan ditenggelami banjir sejak dua hari lalu.

Tinjauan BH mendapati jemaah terpaksa meredah banjir setinggi hampir satu meter untuk ke masjid itu, malah ada yang mengambil inisiatif menggunakan perahu.

Selepas azan berkumandang, pihak masjid menunggu kehadiran jemaah tetapi hanya ada 24 makmum menyebabkan mereka terpaksa menunaikan solat zuhur sahaja.

Penduduk, Syed Alwi Syed Kuning, 71, berkata situasi tidak dapat mengerjakan solat Jumaat seumpama itu pernah berlaku kira-kira 10 tahun lalu, dan kejadian hari ini mungkin disebabkan kawasan berkenaan dinaiki air tinggi.

“Boleh dikatakan rumah semua jemaah dinaiki air kerana kampung di sini memang terletak di kawasan rendah.

“Antara kampung terbabit ialah Kampung Kubang Rambutan, Kampung Parit Air dan Kampung Kok Pauh.

“Hari ini, hanya 24 jemaah dapat hadir, termasuk beberapa anggota polis dan bomba yang bersama-sama menunaikan solat zuhur ketika bertugas meninjau keadaan banjir.

“Masjid ini boleh memuatkan hampir 1,000 jemaah tetapi akibat banjir, hanya beberapa orang dapat hadir,” katanya ketika ditemui di masjid itu.

Sementara itu, Mohd Yusuf Senik, 64, yang cedera akibat kemalangan, tetap bersemangat meredah banjir sejauh kira-kira 200 meter ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

“Bukan saja makmum terkandas akibat banjir, malah rumah imam dan bilal turut dinaiki air setinggi antara dua hingga tiga meter.

“Sebagai umat Islam, kita tetap berusaha menjalankan perintah-Nya selagi mampu. Bagaimanapun, adakala keadaan sebegini tidak dapat kita elakkan,” katanya. – BH Online

Loading...