Makmor: Hanya 3 Minit Tumpaskan 7 Pengganas

Oleh: Datuk Akmar Hisham Mokhles

CUACA di kaki Gunung Perigi dalam kawasan Kompleks Gunung Gading, Lundu Sarawak pada pagi 3 Mac 1967 agak redup walaupun jam telah menunjukkan pukul 12 tengah hari.

Sekali-sekala kabus tebal yang ditiup angin menyapa sekumpulan anggota terup nombor satu, Rejimen Gerak Khas (RGK) yang telah tiga hari berada di situ untuk memburu sekumpulan lapan hingga 15 pengganas Pasukan Gerila Rakyat Sarawak (PGRS).

Oleh kerana kesejukan, Truper Makmor Said, 25, Truper Omar Abdul Rahman dan Koperal Sulaiman Salut memasak air untuk membancuh the bagi memanaskan badan.

Sementara menunggu air masak, mereka berbual kosong dengan nada suara yang terkawal kerana bimbang didengari musuh.

Ketika itu, Makmor tidak membawa senjata. Sebaliknya senjata RISLB diletakkan kira-kira lima meter darinya dengan kedudukan menghala ke arah laluan pulang pasukan ronda mereka yang sebelum itu telah keluar membawa anggota yang sakit ke kawasan pendaratan helikopter.

Di sebelah senjata itu diletak pouches yang penuh berisi peluru. Sangkaan Makmor, kawasan tanggungjawab yang diberikan kepadanya itu adalah selamat dan tidak mungkin dilalui musuh dalam waktu terdekat.

Tambahan pula, Ketua Terup. Leftenan Mohd. Ramli Ismail bersama kumpulannya turut dijangka pulang meronda dari arah yang sama.

Selepas air masak, Makmor mengeluarkan teh serta susu dan mula membancuh teh tarik kegemarannya. Sedang asyik menarik teh, tiba-tiba beliau dan Sulaiman mendengar daun kering dipijak orang.

”Sek!..sek!..sek!” Lama-kelamaan bunyi itu kedengaran semakin hampir.

Sangkaan Makmor itu adalah bunyi rakan-rakannya yang pulang dari meronda. Tetapi tidak pasti siapa dan dari kumpulan mana kerana pandangannya terhalang oleh sebatang pohon rimbun.

Lebih-lebih lagi laluan yang menuruni bukit itu baru sahaja dilalui oleh satu daripada tiga kumpulan ronda. Begitu juga jururadio, Lans Koperal Jamaludin Suriani yang kerap turun naik menukar bateri dan radio set kerana radio set yang dibawanya sebelum ini rosak.

”Kerana itu saya buat tak kisah saja dengan bunyi tersebut walaupun selepas itu terdengar pula bunyi pergerakan dari sekumpulan orang yang agak ramai. Saya ingat kumpulan ronda Sarjan Nordin Sidek pulang.

”Saya berhasrat untuk memberitahu Sulaiman tentang kepulangan mereka tetapi belum sempat berbuat demikian, Sulaiman terlebih dahulu telah melihat musuh di denai yang terletak di kaki Gunung Perigi itu.

”Sulaiman segera menghalakan senjata MGK ke arah pengganas dan menarik picu tetapi malangnya ia tidak meletup,” cerita Makmor bersemangat mengenai pengalaman yang dilaluinya 35 tahun lalu.

Melihat keadaan itu, Sulaiman lantas menjerit ke arahnya: ”Apa lagi Mor!”

Memuntahkan Peluru

Tetapi Makmor tidak segera bertindak kerana tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Beliau kemudiannya bergerak ke tepi denai bagi memastikan siapa yang sebenarnya datang.

Tiba di situ, alangkah terkejutnya beliau apabila ternampak segerombolan musuh sedang berjalan laju hanya kira-kira lapan meter di depannya.

Seorang pengganas lelaki yang berada di depan sekali tergamam sebaik sahaja terpandang Makmor tercegat di depannya dan berhenti secara tiba-tiba.

Beberapa rakannya yang lain tidak mengetahui kemunculan Makmor di situ terus berjalan menuruni bukit sehingga merapati rakan mereka yang di depan sekali.

”Kami bertentang mata untuk seketika. Nasib baik saya tidak panik ketika itu. Walaupun terkejut, saya masih boleh berfikir apa yang harus dilakukan untuk menewaskan musuh,” katanya yang mengaku agak cemas pada waktu itu memandangkan itulah kali pertama dirinya bertembung dengan musuh.

Kami bertentang mata untuk seketika. Nasib baik saya tidak panik ketika itu. Walaupun terkejut, saya masih boleh berfikir apa yang harus dilakukan untuk menewaskan musuh.

Disebabkan musuh masih lagi tergamam, Makmor lantas bertindak dengan melompat segera ke arah senjatanya, kira-kira enam meter dari tempat beliau berdiri.

Baginya musuh mesti ditumbangkan terlebih dahulu sebelum bertindak mengambil perlindungan.

”Sebaik sahaja senjata dicapai, saya terus angkat ke aras pinggang dan mencekahnya.

”Kemudian saya tolak kunci selamat senjata ke automatik dan terus memuntahkan peluru,” ujarnya yang sejak memasuki tentera lagi memang telah menanam tekad untuk membunuh musuh tidak kira di mana sahaja.

Tembakan 30 butir peluru 7.62 mm dari kelopak pertama berjaya mencederakan empat atau lima musuh. Melihatkan mereka masih bergerak di samping ada yang sempat membuat tembakan balas, Makmor segera mengambil kelopak dari pouches miliknya.

Tiga puluh butir lagi ditembak dan diikuti kelopak ketiga yang mempunyai kira-kira 25 butir peluru. Makmor betul-betul melepaskan geramnyaterhadap musuh negara itu. Satu demi satu pengganas rebah. Segala-galanya berlaku dengan pantas dan tidak sampai tiga minit. Pada masa yang sama, beliau tidak sedar sebutir peluru musuh nyaris membunuhnya apabila ia singgah pada sebatang pokok kecil kira-kira sejengkal darinya.

”Selesai menembak, baru saya perasan yang pokok sebesar ibu jari itu patah akibat terkena tembakan musuh,” kata anak kelahiran Parit Sulong, Johor ini.

Dalam pertempuran itu seorang pengganas yang cedera pada tangannya serta berada di belakang sekali bagaimanapun sempat melarikan diri biarpun dikejar oleh Truper Malik selama lebih setengah jam.

Longgokan Mayat

Sebaik pertempuran selesai, Makmor dan beberapa rakan yang tiba ke situ tidak berapa lama kemudian membuat operasi penggeledahan selepas diarah oleh Koperal Ali Mohd. Tahir.

Mereka kemudiannya menemui tujuh mayat musuh dalam dua longgokan. Longgokan pertama mengandungi lima mayat manakala satu lagi dua mayat, kesemuanya dalam keadaan bertindih.

Turut dijumpai ialah tujuh laras senjata MK4 dan Stand Gun serta lapan beg galas yang mengandungi kelengkapan peribadi serta peluru.

Ketika asyik mencari peralatan musuh yang lain, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan suara Sarjan Tohalus Lantar yang menjumpai beberapa batang rokok dari jenis yang sering dihisap oleh Ramli. Selepas itu ditemui pula beg galas kepunyaan Truper Ahlal Ismail dekat mayat musuh.

”Hati kami tiba-tiba berdebar-debar. Yang terlintas di fikiran ialah kemungkinan besar mereka telah ditawan musuh tanpa kami sedari ketika meronda,” katanya.

Untuk mendapatkan kepastian bahawa Ramli dan Ahlal tidak ditangkap musuh agak sukar kerana kedua-duanya tidak diketahui berada di mana.

Pada masa yang sama kumpulan ronda yang terdengar bunyi tembakan juga bimbang untuk menghampiri tempat Makmor menembak mati musuh, takut kelak ditembak rakan-rakan sendiri yang mungkin menyangka mereka adalah musuh.

”Selepas menunggu agak lama, kami akhirnya memanggil sahaja nama anggota kumpulan peronda berulang kali agar datang ke tempat kami.

”Kemudian barulah mereka datang termasuk Ramli dan Ahlal. Melihat kelibat mereka kami jadi lega walaupun masih hairan bagaimana barangan tersebut boleh berada pada musuh,” katanya yang mendapat latihan asas komando daripada Rejimen 40 Komando British yang berpangkalan di Kem Majidee pada tahun 1965.

Malam itu, Makmor dan rakan-rakannya terpaksa bermalam dengan mayat-mayat tersebut. Esoknya, barulah mereka keluar dari kawasanoperasi menggunakan helikopter.

Kejayaan anggota komando ini menewaskan musuh pada usia 25 tahun bukan sahaja membuktikan kehebatannya, tetapi turut melakar tiga sejarah penting kepada RGK.

Pertamanya, beliau menjadi anggota RGK yang pertama berjaya membunuh pengganas sejak rejimen itu ditubuhkan pada tahun 1965.

Keduanya, jumlah musuh yang dibunuh adalah yang teramai pernah dilakukan oleh seorang anggota komando dalam satu operasi dan rekod itu belum dipecahkan sehingga kini.

Di samping itu, anak keempat dari 12 orang adik-beradik ini turut memegang rekod berjaya membunuh tujuh musuh dalam tempoh yang singkat selain hanya memerlukan 85 butir peluru sahaja untuk berbuat demikian – satu kejayaan yang cukup membanggakan pasukan elit berkenaan.

Pingat PGB

Ekoran sifat keberanian serta kebolehannya itu, maka anak petani yang lebih dikenali sebagai Pak Hitam ini telah dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Al-Sultan Ismail Nasaruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin pada 5 Jun 1968. Kerana kecemerlangannya dalam melaksanakan tugas juga, beliau akhirnya berjaya menjawat pangkat Pegawai Waran II dengan berkhidmat selama 21 tahun dalam RGK.

”Selepas saya bersara, nampaknya komando semakin melupakan saya. Entah apa salah saya sedangkan komando begitu dekat di hati saya,” rintih Pak Hitam yang kini menghabiskan sisa-sisa usianya dengan menetap di Batu Pahat. – MYNEWSHUB.CC

*Petikan dari buku ‘Demi Negara’ tulisan Datuk Akmar Hisham Mokhles (gambar). Beliau juga adalah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri.