Makin Ramai Terima Hidayah Islam Di Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN – Ketika ketua kerajaan negara jirannya merungut konon sekolah rendah awam di negara itu banyak ajar subjek pendidikan Islam, lain pula halnya dengan situasi di Brunei.

Hasil kejayaan undang-undang khas, Perintah Pendidikan Agama Wajib 2012 terhadap setiap murid Islam ikuti pendidikan sekolah agama di samping sekolah biasa, kini semakin ramai bukan Muslim yang tertarik peluk Islam.

Media tempatan hari ini melaporkan bahawa seramai 388 orang telah memeluk agama Islam sepanjang tempoh dari Januari hingga 23 Disember lalu di Brunei, berdasarkan statistik Unit Pengislaman Pusat Dakwah Islamiah (PDI).

Daripada jumlah keseluruhan itu, 243 orang terdiri warga tempatan dan 116 lagi merupakan warga asing. Angka ini masih lagi stabil di sebalik pelbagai tohmahan negatif terhadap kerajaan Brunei terutama isu perundangan Islam.

Ia susulan kepimpinan tegas Sultan Hassanal Bolkiah dalam menegakkan syiar Islam di negara ini menerusi pengisytiharan Perintah Kanun Hukum Jenayah Syariah 2013 yang telah berkuat kuasa mulai tahun 2014 lalu.

Sementara itu, mengikut pecahan kumpulan masyarakat dan bangsa yang memeluk Islam diterbitkan oleh pihak PDI, puak Dusun antara yang catat jumlah tertinggi diikuti etnik Iban, Filipina, Cina, Murut, Eropah dan Bisaya.

Baca: Brunei Perkasa Sistem Beraja, Daulat Islam

Juga: Sultan Brunei Wajib Murid Solat Di Sekolah

Dan: Rusia Kagumi Sistem Pendidikan Islam Brunei

Manakala jika rekod berdasarkan kawasan pula, Daerah Brunei dan Muara yang agak padat dengan penduduk di negara kecil Borneo itu mencatatkan jumlah tertinggi mualaf diikuti Daerah Tutong, Belait dan Temburong.

Sejak capai kemerdekaan daripada penjajahan Britain pada 1984, PDI menganggarkan sejumlah 15,697 orang memeluk Islam di seluruh Brunei antara 1985 sehingga 2017 iaitu secara purata 450 orang bagi setiap tahun.

Rekod paling tinggi pernah dicatatkan pada 2010 iaitu 642 orang dan paling rendah didaftarkan PDI pada 1990 iaitu 303 orang. Majoriti mualaf ialah golongan wanita dan trend positif sebegini turut sama berlaku di seluruh dunia.

Untuk rekod, Kesultanan Brunei yang ada hari ini bermula daripada pemerintah pertama beragama Islam iaitu Awang Alak Betatar setelah memeluk Islam pada tahun 1363, baginda dikenali sebagai Sultan Muhammad Shah.

Sehingga kini, Brunei memiliki sebanyak 111 buah bangunan ibadat umat Islam iaitu masing-masing dua buah masjid bertaraf negara, 12 masjid utama, 25 masjid mukim, 53 masjid kampung, lapan surau dan 11 balai ibadat.

Brunei terap ideologi negara sebagai Melayu Islam Beraja sejak 1984 dengan wajib semua murid Muslim dapat pendidikan Islam sejajar imej ‘Negara Zikir’ dan capai hasrat Wawasan Brunei 2035. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...