Makan Malam Jadi Majlis Ganyang Presiden PKR

PUTRAJAYA – Penganjuran majlis makan malam bertemakan Wawasan Kemakmuran Bersama oleh beberapa kepemimpinan PKR di ibu negara malam tadi, dilihat menjadi pentas menyerang dan mengganyang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata menganjurkan program atas dasar kemakmuran bersama tidak melanggar disiplin parti, namun isi ucapan dibimbangi berbaur fitnah.

“Saya baru tahu semalam perjumpaan Wawasan Kemakmuran Bersama, jadi kita bersangka baik kerana barangkali itu pendekatan menerangkan bagaimana jurang ekonomi penduduk bandar dan luar bandar.

“Juga adakah kekayaan negara diagih dengan adil, itu konsep falsafah kemakmuran bersama.

“Saya pun tidak tahu sama ada tajuk itu dikupas, tapi yang saya baca daripada laporan media adalah ucapan pemimpin parti dan penjelasan kemakmuran bersama itu ialah ekonomi Malaysia akan lebih makmur kalau Anwar terus diserang.

“Ekonomi Malaysia akan pulih luar biasa hanya dengan mengganyang Anwar, itu yang saya dapat dari semalam, itu mesejnya,” katanya secara sinis pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di sini, hari ini.

Beliau merujuk kepada majlis makan malam di sebuah hotel di ibu negara malam tadi, yang dihadiri beberapa pemimpin PKR seperti Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; dan Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin, Tian Chua serta Ali Biju.

Mohamed Azmin ketika berucap antara lain menegaskan, tidak rela digelar pengkhianat oleh sebilangan pemimpin dan ahli parti itu yang dipercayai menyebelahi Anwar.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu turut mengkritik Anwar secara terbuka yang disifatkannya gagal mengawal ahli parti sendiri.

Saifuddin berkata, ucapan oleh kepemimpinan parti adalah lebih baik sekiranya disampaikan pada sesi penggulungan Kongres Nasional Keadilan yang berakhir semalam.

“Itu tindakan lebih tepat, tindakan yang kurang manis adalah tidak hadir ketika penggulungan tetapi membuka platform lain untuk menjawab,” katanya.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata anggota parti boleh membuat penilaian sendiri berhubung intipati ucapan beberapa pimpinan parti pada majlis makan malam berkenaan.

“PKR sebuah parti yang sudah matang, dah 20 tahun, jangan memandang rendah kebijaksanaan anggota parti.

“Mereka datang dengan kematangan, tengok tingkah kepemimpinan, baca perlembagaan parti, tahu mengenai disiplin organisasi.

“Mereka tahu apa yang dibuat, mereka tahu mana pemimpin yang ada kerendahan hati, mana yang angkuh, mana yang betul-betul nak menjiwai perubahan, ia mesti dalam kerangka batasan parti,” katanya.

Beliau mengakui lebih suka mengambil pendekatan perdamaian yang disuarakan Anwar dan sewajarnya diterima baik.

“Tidak boleh di satu nafas berkata kamu masih ketua saya, satu nafas lain kamu lanyak…tidak boleh ada jurang antara yang diperkatakan dengan yang dibuat,” katanya.

Ditanya sama ada pemimpin tertentu perlu dipanggil bagi memberi penjelasan atau dikenakan tindakan, beliau berkata, perkara itu terpulang kepada anggota tertentu dalam parti.

“Itu terpulang kepada mana-mana anggota, kalau perlu mereka buat, mereka buatlah,” katanya. – BH Online

Loading...