Mak Nyah Mati Dibelasah Selepas Didakwa Curi Telefon Bimbit

KLANG – Seorang mak nyah yang mati dibelasah sekumpulan lelaki menggunakan senjata tumpul di hadapan sebuah hotel di Bukit Tinggi di sini Rabu lepas, dikatakan mencuri telefon bimbit milik pelanggannya, kata Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli.

Sehubungan itu, beliau berkata polis menahan empat lelaki berusia 16 hinga 21 tahun di sekitar Klang bagi membantu siasatan pada hari keesokannya.

“Motif kejadian disebabkan mangsa berusia 32 tahun itu didakwa telah mencuri telefon bimbit jenis Huawei Nouva 2i milik salah seorang daripada suspek semasa melanggan mangsa pada November lepas.

“Siasatan mendapati kejadian ini lebih menjurus kepada mangsa disyaki curi telefon bimbit dan tiada isu berkaitan kebencian kepada LGBT,” katanya dalam kenyataan menerusi WhatsApp.

Shamsul Amar berkata dua suspek ditahan reman selama enam hari mulai semalam, manakala dua lagi akan dipohon reman pagi ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mangsa yang berasal dari Sabah itu disahkan meninggal dunia pukul 10.47 pagi kelmarin, ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Hasil bedah siasat mendapati terdapat 32 kecederaan pada seluruh badan mangsa dan punca kematian adalah kecederaan teruk pada kepala akibat hentakan objek tumpul. – BERNAMA

Loading...