Maju Jadi ‘Tuli’ Dakwa KWSP, UEM Tidak Layan Bida

IBARAT hidung tidak mancung tapi pipi pula tersorong-sorong, mungkin itulah senario dapat digambarkan dengan kisah tawaran pelik Maju Holdings Berhad mahu ‘beli’ PLUS Malaysia Berhad.

Ia susulan langkah sumbang syarikat kontroversi diterajui taikun Tan Sri Abu Sahid Mohamad itu terpaksa eksploitasi media tertentu awal bulan ini untuk mempersoalkan kenapa KWSP dan UEM ‘lambat’ layan tawaran mereka.

Sekali imbas, memang ada logik jika diteliti hujah ‘bernas’ Maju apabila mendakwa usaha tawaran bidaan lumayan bernilai RM36 bilion itu sejak dua bulan lalu masih lagi tiada jawapan tuntas daripada pihak KWSP dan UEM secara rasmi.

Maka syarikat pemegang konsesi Lebuhraya Maju antara ibu negara dan Putrajaya itu dengan nada penuh yakin mendakwa konon permohonan mereka masih dalam pertimbangan serta optimis dapat menang bidaan!

Hakikatnya semua pihak terutama 14.5 juta pencarum tabungan KWSP sudah ‘lupa’ kisah tawaran mega Maju itu, malahan tawaran tersebut ditolak oleh kerajaan selaku pemilik PLUS ketika ini.

Secara kiraan atas kertas, PLUS yang diasaskan pada 1986 lalu kini dimiliki 51 peratus pegangan sahamnya oleh UEM Group, anak syarikat Khazanah Nasional Berhad dengan baki 49 peratus pula oleh KWSP sejak 2011.

Namun lucunya, Abu Sahid mendakwa tawaran belum lagi ditutup oleh PLUS di sebalik pihak kerajaan pada bulan lalu teah mengesahkan menolak cadangan pengambilalihan Maju itu.

Entahlah sama ada Maju tidak faham ayat berlapik kerajaan yang agak berdiplomasi menjaga maruah aib syarikat itu agar tidak malu secara terbuka atau memang Abu Sahid sengaja buat-buat tidak tahu tawarannya sudah ditolak.

Walhal semua maklum Kementerian Kewangan dalam jawapan secara bertulis di Dewan Rakyat akhir Oktober lepas mengesahkan enggan menerima cadangan yang dikemukakan pihak Maju atau cakap bahasa kasarnya TOLAK!

Memang ia hanya kenyataan soal jawab tetapi semua tahu berdasarkan kepada amalan warisan sistem Westminster kesan penjajahan British sebelum negara kita merdeka, handsard Parlimen ialah dokumen penyata rasmi diiktiraf.

Apatah lagi Kementerian Kewangan pula ketika ini diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri yang juga selaku Pengerusi Khazanah.

Manakala Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang diketahui amat lantang menolak usaha Maju sejak isu pengambilalihan PLUS itu muncul pada Ogos lalu pun ialah ahli lembaga pengarah Khazanah.

Baca: Al Kisah Si Maju Beli PLUS, Ramai Netizen Bantah Keras!

Johari sendiri kita sedia maklum adalah seorang tokoh korporat berdekad-dekad lamanya yang sudah masak dengan aktiviti penggabungan dan pengambilahan. Sudah tentu perkiraan teliti telah dibuat terhadap cadangan Maju.

Bagi tahun kewangan FY2016, PLUS melaporkan pendapatan sebanyak RM4,066 juta. Dengan kos operasi sebanyak RM1,256 juta dan RM1,531 juta kos pembiayaan, baki yang tinggal adalah hanya RM1,279 juta.

Abu Sahid telah memaklumkan di media konon tanpa jaminan kerajaan, kadar faedah bagi Sukuk PLUS yang berjumlah RM30.4 bilion akan naik 2% atau pertambahan RM608 juta setahun kepada kos pembiayaan.

Dan selepas menolak RM608 juta daripada RM1,279 juta, hanya tinggal RM671 juta untuk membayar balik principal sukuk. Jadi kerajaan sudah tentu telah mengambil kira semua ini.

Bayaran balik principal sukuk adalah RM1,448 juta setahun (RM30.4 bilion / 21 tahun). Jadi dengan RM671 juta sahaja yang tinggal daripada pendapatan PLUS setahun, sudah tentu tidak cukup untuk bayar RM1,448 juta!

Mana nak ‘korek’ lagi kekurangan RM777 juta setahun? Bukan sikit…

Kerajaan jelas tidak mahu sejarah buruk Perwaja yang pernah diterajui Abu Sahid kembali ‘hancurkan’ PLUS ditambah pula imej Maju diragui banyak pihak khususnya dari sudut kemampuan kewangan bisnes berskala besar.

Maka secara prinsip, tidak timbul isu dakwaan Abu Sahid konon tawaran bidaan Maju ke atas PLUS sebagai ‘belum mati tenggelam dalam air’ sambil pintu rundingan masih terbuka untuk perbincangan lanjut kerajaan.

Ini juga bukan kali pertama PLUS cuba ‘dibeli’ namun tegas ditolak kerajaan. Pihak kerajaan sudah berulang kali bertegas tiada pelan untuk jual PLUS malah cadangan dibawa oleh Maju sekadar cetus spekulasi semata-mata.

Maklumlah Maju menawarkan hasrat konon tiada kenaikan tol hingga 2038 sedangkan Lebuhraya Maju yang dibuka sejak 2007 dan sejauh 26 kilometer itu pun baru sahaja naik tariff tol sebanyak 35 peratus pada 2015 lalu dan bakal naik lagi pada 2018.

Ini langsung jauh berbeza dengan lebih 1,000 kilometer jaringan lebuh raya PLUS tidak berbuat demikian sejak 2005 ketika operator konsesi lain terpaksa bertindak naik kadar tol purata sebanyak 3 peratus setahun sejak 2007.

Mudah cerita, lebih wajar status-quo PLUS kekal demi kepentingan aspirasi nasional daripada pindah kepada pihak luar ‘kroni’ individu tertentu sekali gus bela nasib pengguna marhaen secara keseluruhan. – Mynewshub.cc/HAA