Majoriti Rakyat Pulau Pinang Mahu Lebuhraya PIL 1

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang sekali lagi mempertahankan Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1), apabila Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata majoriti rakyat negeri itu mahu projek itu diteruskan.

Beliau mendakwa maklum balas orang ramai melalui sesi-sesi town hall mendapati kira-kira 80% menyokong PIL 1, projek lebuhraya mega merentasi bukit bukau yang dikhuatiri aktivis alam sekitar boleh menjejaskan ekosistem pulau.

Chow berkata bantahan terhadap projek itu daripada kumpulan minoriti yang lantang, dan menambah kerajaan negeri akan terus melibatkan diri dengan mereka dengan meminta pakar-pakar bebas menjelaskan isu-isu yang menjadi punca tanggapan salah.

Kenyataan ini selepas bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa ramai menentang projek itu kerana ia terlalu mahal dan menjejaskan alam sekitar.

Najib mendakwa PIL 1 akan menjadi lebih raya paling mahal di negara ini iaitu pada RM7.5 bilion, dan boleh melonjak kepada RM9 bilion atau RM461 juta setiap km.

Jika projek itu dibatalkan, wang itu boleh digunakan untuk membayar hutang Felda sebanyak RM8 bilion dan selebihnya digunakan membantu penanam-penanam yang memerlukan.

Lebuh raya 6 laluan sepanjang 19.5km itu terdiri daripada jalan bertingkat sepanjang 7.6km dan terowong 10.1km melalui Bukit Bendera, menghubungkan Persiaran Gurney di timur laut dengan lapangan terbang di tenggara.

Ia membolehkan pengguna bergegas ke lapangan terbang dari Persiaran Gurney dalam masa 15 minit.

Chow hari ini menangkis dakwaan Najib, mengatakan dakwaan terlalu mahal itu “digoreng”.

Beliau berkata penerowongan dan kerja-kerja kompleks lain mewajarkan RM7.5 bilion itu, dan menafikan kos akan melonjak kepada RM9 bilion.

Wang untuk projek itu dibiaya melalui tebus guna 3 pulau di selatan Pulau Pinang, yang akhirnya akan menjadi milik kerajaan negeri, kata Chow.

Mengenai projek terowong dasar laut George Town-Butterworth dan 3 jalan utama, Chow berkata pihak berkuasa belum membayar kontraktor untuk laporan kebolehlaksanaan terowong itu kerana laporan itu belum dimuktamadkan.

Oleh itu dakwaan kerajaan sudah membayar RM305 juta kepada syarikat konsesi itu adalah tidak betul, katanya.

“Laporan untuk terowong dasar laut yang dicadangkan itu kini sedang dikaji oleh seorang jurutera bebas yang dilantik kerajaan negeri,” tambahnya.

Projek-projek itu sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, yang termasuk beberapa lebuh raya dan laluan transit yang akan dibina dalam tempoh 20 hingga 30 tahun pada kos RM46 bilion.

Ia akan dibiayai melalui pembinaan 3 pulau buatan di selatan Pulau Pinang, yang kemudian akan dilelong kepada pihak yang berminat.

Pelan itu belum diluluskan oleh pengawal selia alam sekitar.

Kerajaan negeri bagaimanapun mahu memulakan lebuhraya PIL 1 dan laluan transit aliran ringan Komtar-Bayan Lepas bernilai RM8.4 bilion.

Ia meminta pinjaman lunak RM1 bilion untuk memulakan tebus guna pulau-pulau supaya kedua-dua projek boleh dijalankan serentak. – FMT

Loading...