Majlis Penghargaan Wira Merah Ditangguh

KUALA LUMPUR – Majlis Penghargaan Wira Merah yang dijadualkan esok (Rabu) ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan, demikian menurut Unit Komunikasi Korporat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Menurut JBPM dalam satu kenyataan hari ini, majlis berkenaan adalah bagi menghargai enam anggotanya yang lemas dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang hilang di Taman Putra Perdana, Puchong, Rabu lepas (3 Oktober).

Muhammad llham Fahmy Mohammad Azzam,17, ditemukan 4 Oktober lepas kira-kira 800 meter dari tempat dia terjatuh.

“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas keprihatinan dan kepekaan orang awam dengan memberi penghormatan serta menghulurkan sumbangan kepada waris keluarga Wira Merah,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada waris pegawai bomba berkenaan boleh membuat serahan terus di Bahagian Pengurusan Korporat JBPM di Putrajaya atau menerusi akaun Bank Muamalat 16010000876715.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Pengarah Bahagian Pengurusan Korporat JBPM Siti Rohani Nadir di talian 03-88927652 atau 013-2488994.

Dalam tragedi itu, enam anggota Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) (JBPM) terkorban ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat Muhammad Ilham yang dilaporkan lemas di lokasi terbabit.

Kejadian berlaku pada kira-kira 9.15 malam ketika mereka baru sahaja memulakan operasi mengesan remaja berkenaan.

Keenam-enam yang terkorban terdiri daripada empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, sementara dua lagi mangsa dari BBP Shah Alam dikenali sebagai Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Jenazah mereka dikebumikan di kampung halaman masing-masing. – BERNAMA

Loading...