Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Kilang Punca Pencemaran Sungai...

PUTRAJAYA - Kilang memproses baja tinja dan menternak ayam di Johor yang dikenal...

1MDB: Suami Dedah Umie...

SEPERTI umum mengetahui, suami kepada aktres Datin Seri Umie Aida, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan merupakan...

AisKosong, Aplikasi Buat Pelajar...

SEBAGAI bekas pelajar, salah satu 'ilmu' yang wajib kami kuasai adalah penjimatan dalam...

Sarawak Gubal Dasar Konkrit...

KUCHING - Kerajaan Negeri Sarawak telah menggubal satu dasar penggunaan tanah yang konkrit...

Majikan, Pekerja Kritik Gaji Minimum RM1,200

PETALING JAYA – Kementerian Sumber Manusia dikritik kumpulan majikan dan pekerja berhubung kenaikan gaji minimum dan bagaimana pelaksanaannya.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan berkata, beliau terkejut gaji minimum RM1,200 di “wilayah bandar utama” diumumkan dalam Belanjawan 2020 termasuk 42 bandar kecil.

“Menurut warta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, terdapat hanya 15 majlis bandaraya, tetapi apa yang diumumkan adalah upah minimum yang baru ini akan dilaksanakan di 57 majlis bandar raya dan majlis perbandaran,” katanya kepada FMT.

Rabu lalu, kerajaan memutuskan kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM1,200 sebulan di bandar utama di bawah pentadbiran 57 majlis bandar raya dan majlis perbandaran, manakala kadar gaji minimum kekal pada RM1,100 sebulan di kawasan selain wilayah bandar utama.

Shamsuddin berkata banyak operasi syarikat tidak memberangsangkan dan ramai yang cuba mengelakkan pemberhentian kerja.

“Situasi ini amat buruk bagi sesetengah industri seperti media dan peruncitan. Kami melihat syarikat seperti Giant and Cold Storage mengumumkan penutupan pasar raya disebabkan iklim ekonomi,” katanya.

Sehingga September tahun ini, Shamsuddin menambah, kira-kira 23,000 orang diberhentikan kerja. Beliau menjangkakan angka ini mencecah 30,000 menjelang akhir bulan ini.

Beliau juga menggesa kerajaan sentiasa ingat bahawa penerima manfaat utama kenaikan gaji minimum adalah warga asing kerana ramai rakyat Malaysia sudahpun dibayar melebihi jumlah itu.

“Pekerja asing akan mengirim sebahagian besar pendapatan mereka ke negara asal, jadi kenaikan gaji mereka tidak akan memberi manfaat kepada ekonomi tempatan,” katanya.

“Jadi rakyat Malaysia yang akhirnya membayar lebih untuk barangan dan perkhidmatan.”

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik kenaikan gaji minimum, namun ia berkata malangnya kerajaan membuat pengumuman itu tanpa rundingan yang berkesan dengan pihak berkepentingan.


Setiausaha Agungnya, J Solomon mempersoalkan bagaimana kerajaan akan memastikan pelaksanaan kadar baru yang adil, dengan memberi contoh mereka yang tinggal di bandar tetapi bekerja di kawasan di mana kadar RM1,100 dilaksanakan.

“Adakah RM1,200 benar-benar mencukupi untuk menjalani kehidupan yang baik? MTUC meminta RM1,800 selepas kajian serantau tetapi ini jauh daripada menjadi kenyataan.”

Naib Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Nathan K Suppiah menggesa kerajaan menghormati janji manifestonya untuk berkongsi apa-apa kenaikan gaji minimum dengan majikan.

“Kami mencadangkan 50% daripada kenaikan kerajaan itu dalam bentuk subsidi langsung kepada pekerja tempatan,” katanya, sambil menambah masalah yang lebih besar untuk gaji minimum adalah ia setimpal dengan keuntungan produktiviti.

“Kebanyakan syarikat bergelut dengan peningkatan kos. Lebih banyak usaha mesti dibuat untuk memastikan peningkatan produktiviti selaras dengan upah yang lebih tinggi.”

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata walaupun gaji minimum RM1,200 tidak mencukupi, ia menunjukkan kerajaan menyedari keperluan untuk kenaikan gaji.

Beliau berkata kerajaan perlu memperkenalkan gaji untuk sara hidup dan bukannya gaji minimum.

“Saya fikir pelaksanaan kadar baru itu mungkin bermasalah kerana 87% rakyat Malaysia tinggal di kawasan bandar di mana kos sara hidup adalah tinggi, tetapi tidak semua kawasan bandar termasuk dalam 57 majlis bandar raya dan majlis perbandaran.

“Sebagai contoh, beberapa perniagaan di Kapar mungkin berpendapat kawasan mereka tidak berada di bawah bandar Klang walaupun ia bersebelahan, jadi upah minimum harus diseragamkan.” – FMT

Kategori