Main Judi, Tiga Pemandu Teksi Didenda

KUALA LUMPUR – Tiga pemandu teksi masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan bermain judi jenis kad daun terup di kaki lima di hadapan sebuah restoran, Ogos lepas.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu ke atas Wong Seng Wei, 58, Lee Chan Yo, 43, dan Chong Oi Weng, 46, dan memerintahkan ketiga-tiga lelaki itu menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda.

Mereka membayar denda berkenaan.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan perbuatan itu di kaki lima di hadapan sebuah Restoran Ho Wan di Jalan Kuchai Maju 14, Kuchai Lama di sini pada 11.30 malam, 25 Ogos lepas mengikut Seksyen 7 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, kesemua mereka yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda manakala Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan memohoh hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh. – BERNAMA