‘Main Batu’, Jangan Sampai Kena Tipu

TIDAK kiralah permata jenis intan, nilam atau zamrud, jika hati sudah berkenan dan ada sedikit peruntukan dalam tangan, tidak salah jika ia dibawa pulang, sama ada untuk koleksi sendiri atau buat si dia tersayang.

Namun, lebih baik andai permata itu dibeli dengan mata yang ‘berilmu’, kerana tanpa ilmu, silap hari bulan si pembeli mungkin terbeli permata palsu. Waktu itu, sudah tak berguna walau menangis tak berlagu!

Ahli gemologi, Mat Ruzlin Maulud berkata ramai dalam masyarakat negara ini yang minat membeli batu permata atau lebih biasa dipanggil ‘main batu’, tapi sayangnya mereka kurang ilmu asas mengenainya.

Katanya, andai tidak tahu selok-belok ‘main batu’, sesiapa sahaja berpotensi menjadi mangsa tipu, baik individu biasa, mahu pun golongan VIP.

“Yang paling biasa datang ke sini mereka mengadu terbeli permata sintetik, yang beli ‘kaca’ pun ramai juga, ada yang beli sampai RM30,000, bila saya periksa nilainya tak lebih RM50 atau RM100.

“Sebenarnya kita mesti tahu hak kita bila mahu beli permata. Anda bayar beribu ringgit, pastikan anda tahu apa yang dibayar dan ‘bangunkan’ mata yang ‘terpelajar’ untuk menilai dengan lebih efektif, jangan mudah tertipu sebab ramai sangat yang kena tipu, betul-betul ramai,” katanya dalam satu temubual bersama mStar Online.

Pemilik syarikat khidmat rundingan batu permata MRM Gem Centre yang terletak di Petaling Jaya, Selangor ini berkata selain membeli permata sintetik atau palsu yang didakwa asli oleh peniaga, terdapat juga pengguna yang diperdaya dengan taktik yang lebih licik.

Lebih senang disapa sebagai Che Mat, beliau berkata taktik ini biasanya dilakukan oleh peniaga tidak bertanggungjawab apabila pemilik permata asli menghantar koleksi mereka untuk dijadikan aksesori atau dicuci.

“Ada yang hantar permata mereka di kedai untuk dicuci dan apabila dipulangkan, ia telah ditukar dengan permata palsu atau sintetik yang hampir sama dengan permata asli yang dihantar,” dedah beliau.

Jelasnya, disebabkan batu permata dibayar atas dasar persetujuan bersama antara pembeli dan peniaga, setakat ini tiada undang-undang khas yang dapat memberi keadilan dalam kes-kes penipuan seperti ini.

Bagaimanapun katanya, penilaian ahli gemologi yang mengeluarkan sijil pengesahan tentang keaslian batu permata itu sedikit-sebanyak dapat membantu dua pihak iaitu peniaga dan pembeli.

“Ramai peniaga batu permata kini datang jumpa saya dan minta saya periksa, buat penilaian dan sahkan keaslian batu permata mereka sebelum saya mengeluarkan sijil khas. Sijil ini lebih membuatkan pelanggan mereka lebih yakin untuk membeli.

“Bagi yang ada permata sendiri pula, mereka juga akan minta saya keluarkan sijil untuk pastikan koleksi permata mereka adalah asli dan untuk kepuasan sendiri,” katanya yang turut mengeluarkan sijil pengesahan bersama maklumat lengkap batu permata yang telah dibuat penilaian.

KELAS ‘CELIK’ PERMATA

Tidak mahu masyarakat terus terpedaya, Che Mat terpanggil untuk membuka kelas khas ‘celik’ permata bagi membolehkan pengalaman dan ilmu tentang batu permata dapat dikongsi sebaiknya dengan mereka yang berminat.

Che Mat yang mempunyai kelayakan akademik dan pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang ini berkata kelas tersebut terbuka kepada sesiapa sahaja dan diadakan secara berkumpulan dengan bayaran RM200 seorang.

Jelasnya, walaupun batu permata tidak dapat dinilai dengan mata kasar, pembeli tetap boleh menjadi seorang penilai batu permata, sekurang-kurangnya untuk melihat kecacatannya, seterusnya tidak tertipu.

Menurut Che Mat, permata sintetik atau palsu bagai tidak mempunyai ‘nyawa dan jiwa’ jika dinilai dengan betul menggunakan kanta dan lampu penyuluh.

“Salah satu dalam kelas itu saya ajar etika yang betul, maksudnya kalau nak beli permata anda ada hak, anda mesti nilai permata itu dengan betul, dengan ‘cara antarabangsa’.

“Dalam penilaian permata, anda kena guna kanta sekurang-kurangnya 10 kali, ‘standard’ dunia 10 kali, baru boleh sahkan permata tu,” katanya.

Dalam pada itu, berdasarkan kajian dan pembacaannya, beliau turut mendakwa bahawa negara Asia, termasuk Malaysia, bukanlah tempat yang baik untuk membeli permata jika pelanggannya tidak berhati-hati.

“Bila banding di luar negara dengan di sini, kita kekurangan dari segi etika, pelanggan tak dapat layanan sepatutnya.

“Bila kita membelinya di luar negara, kita dapat layanan lebih istimewa, mereka akan hulurkan kita lampu suluh dan kanta walaupun bukan kita yang minta…jadi saya rasa etika itu betullah, di sini susah nak dapat etika yang betul untuk beli permata,” katanya. – mStar Online

Loading...