Mahkamah Tolak Ikat Jamin Balu CEO Cradle Fund

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi menolak permohonan balu ketua pegawai eksekutif (CEO) Cradle Fund, Samirah Muzaffar untuk dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan kes bunuh suaminya, Nazrin Hassan.

Hakim Ab Karim Ab Rahman berkata Samirah Muzaffar gagal menunjukkan alasan mengapa jaminan harus diberikan kepadanya.

“Dia mengadu dia tidak boleh menyediakan pembelaannya bagi kes bunuh itu semasa dalam tahanan.

“Bagaimanapun, dia masih boleh berjumpa peguamnya di penjara setiap minggu, walaupun dia tertakluk kepada peraturan penjara,” katanya.

Ab Karim kemudian menetapkan 3 hingga 15 September dan 23 September hingga 4 Oktober untuk pendengaran kes bunuh tersebut.

Peguam Samirah, Muhammad Shafee Abdullah, berkata mereka akan memfailkan rayuan bagi keputusan tersebut.

Beliau sebelum ini mempertikaikan pegawai penjara yang mengeluarkan beberapa bahagian surat Samirah kepada peguamnya bagi menyediakan pembelaan dan memberi arahan mengenai kesnya.

“Ini adalah pelanggaran berat haknya untuk mendapatkan nasihat undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Zain Ibrahim berkata, pegawai itu menjalankan budi bicara mereka dalam mengeluarkan kandungan tersebut.

“Dia dibenarkan berjumpa dengan peguamnya dan memberi mereka arahan apabila dia bertemu dengan mereka di penjara,” katanya.

Samirah dituduh membunuh Nazrin dengan 2 lagi remaja di rumah mereka di Mutiara Damansara pada Jun tahun lalu.

Kedua-dua remaja berusia 14 dan 17 tahun itu dibebaskan dengan jaminan RM50,000 setiap seorang, bulan lalu. – FMT

Loading...