Mahkamah Tinggi Tolak Permohonan Paul Yong

IPOH – Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menolak permohonan Exco Kerajaan Perak, Paul Yong Choo Kiong untuk memindahkan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia yang dihadapinya ke mahkamah itu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Radzi Harun membuat keputusan itu selepas memutuskan Mahkamah Sesyen juga adalah kompeten (mempunyai keupayaan) untuk mendengar kes terbabit.

Menurutnya, kes melibatkan anggota kerajaan negeri itu tidak mempunyai merit yang mewajarkan permohonan kes didengar di Mahkamah Tinggi.

“Mahkamah Sesyen yang kendalikan kes ini merupakan pegawai kehakiman yang mempunyai ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam bidang undang-undang mengendalikannya juga untuk pastikan bahawa pada akhirnya hak kedua-dua pihak adalah sentiasa dilindungi undang-undang.

“Oleh itu, mahkamah menolak permohonan pihak pembelaan untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi,” katanya.

Beliau turut mengarahkan kes berkenaan disebut semula di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen pada 5 Disember depan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar memberitahu mahkamah, pihaknya tiada sebarang bantahan terhadap permohonan pihak pembelaan diketuai Peguam Datuk Rajpal Singh untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

“Kita tiada bantahan terhadap permohonan itu tetapi isunya di sini bukan kompleks sehingga perlu didengar di Mahkamah Tinggi,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding itu.

Peguam Datuk Rajpal Singh bercakap kepada pemberita selepas selesai prosiding hari ini.

Sementara itu Rajpal berkata, pihaknya mempunyai beberapa pilihan sama ada untuk mengemukakan rayuan atau meneruskan pendengaran kes di Mahkamah Sesyen.

“Hakim Mahkamah Tinggi sudah memutuskan bahawa Mahkamah Sesyen mampu mendengar dan membicarakan kes ini dengan penuh keadilan, bagaimanapun kami akan mengadakan rundingan terlebih dahulu dengan anak guam sebelum membuat keputusan lanjut,” katanya.

Pihak pembelaan telah memfailkan permohonan pemindahan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 13 November lepas mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.

Permohonan itu dibuat disebabkan banyak isu perundangan timbul terutamanya membabitkan Akta Perlindungan Saksi 2009.

Pada 23 Ogos lalu, Paul Yong, 49, yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu mengaku tidak bersalah merogol pembantu rumahnya seorang warga Indonesia berusia 23 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, Paul Yong didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Loading...