Mahkamah Rekod Persetujuan Kes Saman Neelofa

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini merekodkan penghakiman persetujuan kes saman fitnah dikemukakan pengacara dan pelakon popular Neelofa terhadap syarikat pengendali portal Rotikaya selepas kedua-dua pihak menyelesaikan kes saman berkenaan secara baik melalui proses mediasi.

Neelofa, 29, atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor mengemukakan saman terhadap Rotikaya Media Sdn Bhd atas dakwaan menyiarkan artikel berunsur fitnah berhubung pelancaran koleksi hijab Be Lofa di pusat hiburan Zouk dan Anugerah Ikon Wanita yang diterima pelakon berkenaan.

Peguam Amira Farhana Mohd Yasir, yang mewakili Neelofa ketika ditemui pemberita berkata Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aliza Sulaiman merekodkan penghakiman persetujuan itu di dalam kamarnya hari ini dengan dihadiri peguam Mohamad Ariff Syukri Abd Rahman, mewakili Rotikaya.

“Hari ini, penyelesaian kes saman berkenaan telah disahkan oleh mahkamah selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes saman itu melalui proses mediasi dan hari ini juga penghakiman persetujuan direkodkan. Namun, terma-terma penyelesaian tidak dapat didedahkan kepada pihak media,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Ariff berkata pihak-pihak bersetuju untuk merekodkan penghakiman persetujuan secara baik tanpa apa-apa pengakuan terhadap liabiliti dan tanpa apa-apa perintah terhadap kos di dalam tindakan saman berkenaan.

Pada 24 Okt lepas, Neelofa dan Rotikaya bersetuju untuk menyelesaikan kes saman itu secara baik melalui proses mediasi yang dijalankan di Pusat Mediasi Mahkamah Tinggi di sini.

Neelofa selaku plaintif menyaman Rotikaya selaku defendan pada April lepas, selepas mendakwa syarikat berkenaan telah mengeluarkan dan menyiarkan artikel berunsur fitnah terhadapnya di laman web www.rotikaya.com.

Dalam penyataan tuntutan, Neelofa mendakwa penyiaran artikel bertarikh 5 Mac lepas, berhubung pelancaran koleksi tudungnya di Zouk dan juga membabitkan Anugerah Ikon Wanita, telah menyebabkan reputasinya tercemar.

Pelakon itu juga mendakwa artikel yang disiarkan antara lain membawa maksud bahawa beliau telah digugurkan daripada menerima penghargaan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia selain menggambarkan dirinya tidak berakhlak dan seorang yang hipokrit.

Dakwanya, artikel berkenaan adalah tidak benar dan diterbitkan oleh defendan tanpa memberi peluang kepadanya untuk menafikan kenyataan-kenyataan di dalam artikel itu. – BERNAMA

Loading...