Mahkamah Rayuan Lepas Dan Bebaskan Tengku Adnan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan di sini, hari ini melepas dan membebaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atas tuduhan rasuah, sabitan dan hukuman penjara 12 bulan serta denda RM2 juta.

Pada 21 Disember tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman terhadap Tengku Adnan yang dikenali sebagai Ku Nan, penjara 12 bulan dan mengenakan denda RM2 juta, selepas beliau didapati bersalah.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan Ahli Parlimen Putrajaya itu, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda itu, sementara menunggu rayuan.

Tengku Adnan, 70, didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, menerima RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan tugas rasminya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda. – BERNAMA