Mahkamah Larang Merokok Di Rumah Setelah Jiran Mengadu

IENNA – Bayangkan jika anda dilarang oleh mahkamah daripada merokok di dalam rumah sendiri.

Itulah yang berlaku kepada seorang lelaki Austria setelah jiran di tingkat atasnya mengadu tentang bau busuk dari tabiat merokoknya itu.

Menurut Daily Mail, mahkamah tertinggi Austria di Vienna kemudian mengharamkan lelaki itu daripada merokok di balkoninya sendiri atau merokok di dalam rumah dengan tingkapnya terbuka pada waktu-waktu tertentu.

Semua itu berlaku apabila jiran lelaki berkenaan memfailkan kes di mahkamah kerana tidak tahan bau rokok dari flat di tingkat bawah rumahnya.

Mahkamah diberitahu lelaki tersebut gemar merokok di balkoninya semasa musim panas, biasanya antara tengah malam dengan 2.00 pagi, lapor Daily Mail.

Pada musim sejuk pula, dia biasanya merokok dalam apartmennya dengan tingkap terbuka.

Setelah aduan difailkan, mahkamah daerah mengarahkan lelaki itu hanya dibenarkan merokok di dalam flatnya dengan tingkat tertutup.

Namun menurut Daily Mail, lelaki itu membuat rayuan dan setelah itu dibenarkan merokok di balkoninya atau dalam rumah dengan tingkap terbuka antara 6.00 pagi dan 10.00 malam.

Bagaimanapun, jirannya itu ternyata tidak mahu menyerah kalah dan membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi, lapor The Local.

Malangnya, lelaki itu kini dilarang merokok di balkoni mahupun di dalam rumah dengan tingkap terbuka antara 10.00 malam dengan 6.00 pagi.

Pada musim panas pula, beliau diharamkan merokok semasa ‘waktu makan’ – dari 8.00 pagi hingga 10.00 pagi, tengah hari hingga 3.00 petang dan 6.00 petang hingga 8.00 malam. – Agensi

Loading...