Mahkamah Kajang Tolak Reman Siti Kassim

MAHKAMAH Majistret Kajang hari ini menolok permohonan reman terhadap aktivis liberal, Siti Zabedah Kassim berkenaan dakwaan menghalang pihak berkuasa menjalangkan tugas.

Susulan keputusan itu, Siti Zabedah atau lebih dikenali sebagai Siti Kassim yang ditahan di ibu pejabat Polis Kajang awal hari ini akan dibebaskan dalam masa terdekat.

Datuk Ambiga Sreenevasan yang mengetuai 12 peguam mewakili bagi pihak Siti berkata, penolakan itu adalah kerana tidak memenuhi syarat, selain tidak ada alasan dikemukakan oleh pihak polis.

“Selepas mendengar hujah pihak polis dan peguam, majistret telah tolak permohanan reman.

“Kami andaikan permohonan reman itu ditolak kerana tidak berasas,” katanya yang dipetik menerusi portal The Malaysian Insight.

Terdahulu, polis menahan peguam kontroversi itu di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu menculik dan Seksyen 186 kanun sama iaitu menghalang tugas penjawat awam.

Kaitan: Siti Kassim Ditahan Halang Tugas Penjawat Awam

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata penahanan dibuat susulan laporan daripada seorang wanita menuduh Siti mengurung anak perempuanya secara paksa.

Laporan itu turut mendakwa anaknya yang berusia 24 tahun telah dilarikan oleh Siti sewaktu menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Kajang pada Khamis lalu.

Selain itu, satu lagi laporan berasingan turut dibuat oleh anggota polis berhubung kekecohan yang berlaku di hospital tersebut susulan insiden itu.

Fadzil mengesahkan polis berjaya mengesan gadis tersebut di sebuah kondominium di Segambut kira-kira jam 9 malam Sabtu.

Gadis itu kemudian dihantar semula ke Hospital Kajang untuk meneruskan prosedur pemeriksaan. – MYNEWSHUB.CC

Loading...