Mahkamah Benar Permohonan Perintah Komital Terhadap AG

SHAH ALAM – Mahkamah Koroner di sini hari ini membenarkan permohonan perintah komital (menghina mahkamah) dipohon keluarga anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas kerana menghina mahkamah berkaitan prosiding inkues bagi mencari punca kematian anaknya.

Koroner Rofiah Mohamad memutuskan permohonan itu selepas mendapati wujud prima facie atas imbangan kebarangkalian dalam kes inkues tersebut.

“Saya berpuas hati dengan hujahan kedua-dua pihak yang dikemukakan sebelum ini. Mahkamah membenarkan permohonan ini atas alasan berlaku satu tindakan oleh Tommy yang menjurus kepada penghinaan mahkamah.

“Semasa prosiding inkues berlangsung, terdapat perkembangan untuk memberhentikan peguam iaitu, Syazlin Mansor yang boleh mencacatkan dan memudaratkan kelancaran inkues.

“Selain itu dalam afidavit yang dikemukan Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah pada 3 April lalu, ia menjadi rentetan hingga ada gesaan supaya inkues ini digantikan dengan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan keadaan itu sekaligus menimbulkan persepsi terhadap inkues yang dijalankan oleh saya atas arahan peguam negara sendiri seolah-olah sebagai satu permainan wayang,” katanya.