Mahkamah Benar Najib Minta Pakar Sah Tandatangan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta seorang pakar bagi menentukan kesahihan tandatangannya pada tujuh dokumen bank dan syarikat dalam perbicaraan melibatkan dana SRC International Sdn. Bhd.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, permohonan itu dibenarkan bagi mendapatkan keadilan.

“Walaupun permohonan itu sesuatu yang difikirkan kemudian, ia menjadi kewajipan mahkamah untuk memelihara integriti dan keadilan dalam proses perbicaraan,” katanya.

Nazlan juga akan menentukan kebolehpercayaan saksi-saksi pihak pembelaan pada penghujung kes pembelaan.

Bagaimanapun Nazlan mengehadkan permohonan Najib kepada dokumen-dokumen tertentu.

“Pihak pembelaan mesti mengatur pemeriksaan itu dijalankan minggu depan tetapi hanya dua hari,” katanya.

Hakim juga telah memutuskan pemeriksaan mesti dibuat di mahkamah.

Nazlan memutuskan pihak pembelaan boleh mengemukakan keterangan mereka bagi menyangkal untuk mencabar testimoni pakar pihak pembelaan. – Sinar Harian

Loading...