Mahkamah Benar Hampir RM600,000 Wang Riza Aziz Dilucut

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan kerajaan untuk melucutkan hak wang tunai hampir RM600,000 milik Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang disita oleh pihak polis dua tahun lepas.

Ini susulan persetujuan yang dicapai oleh Riza Shahriz dan pihak pendakwaan dalam kes pengubahan wang haram yang dihadapinya sebelum ini di mana dia dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 14 Mei lepas.

Sejumlah wang tunai termasuk mata wang asing merangkumi RM537,000 serta 2,700 pound sterling dan 2,870,000 rupee Sri Lanka disita dari rumah yang didiami oleh Riza, Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor pada 17 Mei 2018.

MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan perkara itu ketika prosiding kes pelucutan hak yang difailkan kerajaan pada 7 Mei 2019 terhadap ratusan barangan termasuk beg tangan pelbagai jenama, jam tangan, beberapa hartanah, aset dan 27 buah kenderaan yang dirampas daripada Najib, Rosmah, tiga anak mereka dan 13 individu serta syarikat.

Polis menyita barangan berkenaan yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 17 Mei, 11 Jun dan 2 Ogos 2018.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin memberitahu Hakim Mohamed Zaini bahawa lanjutan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas tanpa membebaskan Riza, penerbit filem Wolf of The Wall Street itu bersetuju agar wang tunai tersebut yang disita oleh pihak berkuasa Malaysia dan Amerika Syarikat, dilucutkan hak kepada kerajaan.

“Responden ketiga (Riza) telah buat tuntutan ke atas harta ini (wang tunai) namun dia bersetuju agar harta ini dilucutkan hak kepada kerajaan.

“Atas persetujuan ini, saya ingin memohon mahkamah merekodkan bahawa tiada tuntutan daripada responden pertama (Najib) dan kedua (Rosmah) yang menginap di alamat sama ke atas harta sitaan ini,” katanya.

Peguam Nur Syahirah Hanapiah yang mewakili Najib dan Azrul Zulkifli Stork yang mewakili Rosmah kemudian mengesahkan bahawa anak guam mereka tidak membantah terhadap persetujuan itu dan tidak akan membuat tuntutan terhadap harta tersebut.

Hakim Mohamed Zaini turut merekodkan permohonan Faten Hadni bahawa tiada pihak ketiga akan menuntut harta tersebut.

Mahkamah menetapkan 24 Ogos untuk mendengar permohonan utama kes pelucutan hak itu.

Pada 14 Mei lepas, Riza dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen daripada pertuduhan pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion), yang didakwa diseleweng daripada dana 1MDB selepas pihak pendakwaan dan tertuduh mencapai persetujuan untuk DNAA susulan beberapa representasi difailkan tertuduh terhadap pertuduhan dihadapinya.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan untuk mengendalikan kes itu Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa persetujuan telah dicapai di antara pihak pendakwaan dengan tertuduh di bawah terma-terma bahawa kerajaan Persekutuan akan menerima sejumlah wang membabitkan beberapa juta ringgit.

Loading...