Mahkamah Batal Petisyen Pilihan Raya Tasek Gelugor

GEORGE TOWN – Mahkamah Pilihan Raya hari ini membatalkan petisyen pilihan raya Parlimen Tasek Gelugor yang difailkan oleh calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya yang mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bagi kawasan berkenaan.

Hakim Datuk Hashim Hamzah membuat keputusan itu setelah membenarkan permohonan kedua-dua pihak, Marzuki selaku pempetisyen dan responden, ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya ketika pengurusan kes di dalam kamarnya di sini.

Dalam kenyataan bersama mereka di luar mahkamah, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Azlina Mehtab Mohd Rauf yang mewakili Marzuki serta Simon Tan yang mewakili Shabudin, berkata, kedua-dua pihak bersetuju dan sependapat agar petisyen dibatalkan.

“Ia juga mengambil kira beberapa situasi yang berlaku dan memandangkan dari segi teknikal, kami berdua mempercayai bahawa ianya adalah lebih bermanfaat untuk dibatalkan atas alasan kami tidak mahu membazir masa mahkamah,” kata Muhammad Rafique kepada pemberita.

Susulan itu katanya, mahkamah membuat keputusan untuk membatalkan petisyen tersebut dan kes selesai hari ini. – BERNAMA

Loading...