Mahathir Umum Pakej Rangsangan Ekonomi 27 Februari

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada 27 Februari ini mengurangkan impak ekonomi luaran akibat wabak COVID-19 terhadap Malaysia.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pakej rangsangan ekonomi itu bukan Belanjawan baharu mahupun sebahagian daripada dasar-dasar Belanjawan 2020.

“Sebaliknya, bantuan akan disalurkan kepada sektor-sektor yang terkesan bagi membenarkan ekonomi negara untuk muncul semula dengan sebaik mungkin dan menerima manfaat daripada
pemulihan semula ekonomi yang dijangkakan berlaku setelah wabak COVID-19 berakhir,”
katanya dalam kenyataan.

“Walaupun pasaran sedang menghadapi cabaran yang genting, kita tidak harus berputus asa, tetapi sebaliknya bertabah supaya industri kita dapat bertahan agar negara dapat menerima manfaat daripada pemulihan semula ekonomi setelah ancaman COVID-19 tamat,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Guan Eng, perhatian utama diberikan ialah aliran tunai dan syarikat-syarikat yang terkesan daripada wabak itu perlu memastikan mereka terus kekal beroperasi dan berupaya memanfaatkan lonjakan semula ekonomi pasca-COVID-19.

Kerajaan akan membantu syarikat-syarikat tersebut namun penekanan harus diberi terhadap usaha meneroka ruang-ruang pendapatan alternatif seperti peralihan kepada penggalakan pelancongan domestik dan mendapatkan sumber daripada pasaran lain.

Selain itu daya tahan pasaran tenaga kerja tempatan haruslah dikekalkan, tambah beliau.

“Infrastruktur fizikal dan lembut juga perlu kekal tersedia sewaktu kekurangan permintaan dalam jangka masa pendek,” katanya. – BH Online

Loading...