Mahathir Tidak Maksudkan GST Akan Dilaksana Terus

PUTRAJAYA – Kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) hari ini tidak bermaksud sistem percukaian itu akan terus dilaksanakan semula, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut laporan media yang dibacanya, Saifuddin Nasution menjelaskan bahawa apa yang dimaksudkan Mahathir ialah kerajaan hanya akan mengkaji keperluan untuk memperkenalkan semula sistem GST jika perkara itu merupakan kehendak rakyat.

“Kalau rakyat nak balik semula pada GST, kerajaan sedia kajilah. Bukan Perdana Menteri kata kerajaan akan laksanakan terus. Tak ada. Dia tidak sebut begitu. Jadi kita tamat di situ dari segi kenyataan PM,” katanya ketika ditanya mengenai kenyataan Dr. Mahathir berhubung GST.

Mahathir ketika ditemui media selepas melancarkan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA)  di sini hari ini dilaporkan berkata kerajaan akan mengkaji keperluan memperkenalkan semula sistem GST sekiranya itu kemahuan rakyat.

Saifuddin Nasution yang ditemui pemberita selepas melancarkan Pelan Tindakan Industri Katering 2020 di kementeriannya di sini hari ini berkata: “Saya baca ulang kali. Dia (PM) kata, kalau itu menjadi kehendak atau pilihan rakyat kerajaan bersedia untuk kaji. Maknanya ayat itu berlapik.”

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dilaporkan menyarankan kerajaan memperkenalkan semula GST pada kadar yang lebih rendah iaitu tiga peratus dalam Belanjawan 2020.

GST pada kadar enam peratus pernah dilaksanakan sejak 1 April 2015 namun dimansuhkan pada 1 September 2018 dan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Mengenai Pelan Tindakan Industri Katering 2020 yang bertemakan ‘Memacu Industri Katering dan Kesedaran Pengguna’, Saifuddin Nasution berkata ia merupakan langkah intervensi untuk mengatasi sebahagian isu yang dihadapi industri katering dan melindungi hak dan kepentingan pengguna.

Beliau berkata, pelan itu dirangka ekoran aduan yang diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung perkhidmatan katering semakin meningkat iaitu dari lima aduan pada 2014 kepada 65 aduan pada 2018.

“Kategori aduan yang diterima ialah makanan tidak mencukupi, makanan tidak berkualiti, penghantaran lewat, makanan tidak seperti yang ditempah, perkhidmatan pelayan tetamu tidak mencukupi dan kurang profesional dan pampasan tidak dibayar jika tempahan tidak dapat dipenuhi seperti dijanjikan,” katanya.

Pelan itu turut memuatkan panduan memilih perkhidmatan katering, perkara yang perlu disemak oleh pengguna dan sembilan saluran aduan yang disediakan untuk pengguna. 

Loading...