Mahathir Tidak Ikuti Pembatalan Pertuduhan LTTE

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak mengikuti perkembangan keputusan Mahkamah Sesyen Seremban yang membenarkan permohonan pendakwa raya membatalkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan LTTE ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaran.

“Saya tidak mengikutinya. Pagi ini saya dok fikir untuk membuat ucapan hari ini,” jawab Perdana Menteri ringkas ketika ditanya alasan pembatalan pertuduhan tersebut.

Terdahulu beliau hadir berucap dalam Istiadat Majlis Konvokesyen ASWARA ke-15.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua sebelum ini, Gunasekaran didakwa memiliki item berhubung kait LTTE di pejabat dan kediaman.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di nombor 2844, Jalan SJ 3/6B, Taman Seremban Jaya dan nombor 139, Kampung Baru Rahang, Seremban, masing-masing pada 9.58 pagi dan 11.50 pagi, 10 Oktober lalu.

Sebelum ini Gunasekaran yang juga Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan dituduh masing-masing di Mahkamah Sesyen Melaka pada 29 Oktober kerana memberi sokongan kepada LTTE dan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 31 Oktober, atas pertuduhan tambahan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika mengulas perkembangan tersebut berkata, beliau tidak terkejut dengan keputusan mahkamah itu kerana mungkin ia didorong oleh beberapa isu teknikal. – MalaysiaGazette

Loading...