Mahathir Tiba Di Qatar Untuk Lawatan Rasmi

DOHA – Tun Dr. Mahathir Mohamad tiba, di sini, untuk memulakan lawatan rasmi selama empat hari ke Qatar.

Pesawat yang membawa Perdana Menteri itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad pada jam 9.15 malam tadi waktu tempatan.

Ketibaan Dr. Mahathir dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali, disambut Menteri Perdagangan dan Industri Qatar, Ali Ahmed Al-Kuwari, bersama pegawai kanan daripada kedua-dua negara.

Ini adalah lawatan pertama Dr. Mahathir ke negara ini selepas mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun lalu.

Turut bersama Perdana Menteri dalam lawatan rasmi itu ialah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; dan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Lawatan itu adalah susulan jemputan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani, dan Perdana Menteri dijangka menerima dua anugerah utama ketika berada di negara ini.

Dua anugerah itu akan diterima pada Forum Doha dan di Universiti Qatar.

Dalam lawatan ini juga, Dr. Mahathir akan mengunjungi Sheikh Tamin di istana, hari ini, selain jadual yang padat dengan menemui pemain industri di Qatar.

Selain itu, Dr. Mahathir akan menemui Pengerusi Qatar Foundation, Sheikha Moza Nasser Al Missned yang juga bonda Emir Qatar.

Qatar Foundation kini menaja pendidikan pelajar Malaysia di negara ini.

Loading...