Mahathir Tiba Di Istana Negara

TUN Dr. Mahathir Mohamad tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau yang menaiki kenderaan Proton Perdana hitam diiringi kenderaan pengiring dilihat masuk melalui pintu utama Istana Negara, jam 4.40 petang.

Dr. Mahathir menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memaklumkan berhubung perkembangan politik semasa selepas beliau menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Terdahulu, pejabat Perdana Menteri mengesahkan Dr. Mahathir meletakkan jawatan dan surat peletakan jawatannya itu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong jam 1 tengah hari tadi.

Selain meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, beliau turut melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pagi tadi, beberapa pemimpin politik dilihat mengunjungi kediaman Dr. Mahathir, dipercayai bagi membincangkan isu politik semasa tanah air.

Antaranya ialah Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Perbincangan itu dibuat sejurus Mohamed Azmin, Zuraida dan sembilan lagi Ahli Parlimen menyatakan pendirian keluar daripada PKR serta pengumuman oleh Muhyiddin bahawa BERSATU tidak lagi bersama Pakatan Harapan. – myMetro Online

Loading...