Mahathir Tetap Dengan Keputusan Letak Jawatan – Agong

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mendedahkan bahawa baginda telah meminta Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 Februari lalu.

Namun, beliau tetap dengan keputusannya, titah Seri Paduka dalam Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen di sini.

Susulan landskap politik negara pada 24 Februari yang digegarkan dengan peletakan jawatan Perdana Menteri ketujuh itu, Al-Sultan Abdullah bertitah baginda menerima menghadap Dr Mahathir pada hari yang sama.

MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK

“Dalam pertemuan tersebut, Beta telah meminta Yang Berhormat Tun Dr Mahathir bin Mohamad untuk tidak meletak jawatan. Namun beliau tetap dengan keputusannya. Oleh yang demikian, Beta bertanggungjawab untuk melantik seorang Perdana Menteri yang baharu sepertimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa budi bicara kepada baginda untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Pada 25 dan 26 Februari, Beta telah mengadakan sesi pertemuan secara berseorangan dengan ahli-ahli Dewan Rakyat untuk menilai sendiri sokongan kepercayaan mereka. Pada 29 Februari, Beta telah menitahkan semua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama seorang ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri.

“Atas permintaan beberapa ketua parti politik, Beta telah berkenan pula untuk melanjutkan tempoh masa bagi parti-parti politik mengemukakan pencalonan mereka agar masa yang cukup diberikan dalam mereka membuat perhitungan secara demokrasi,” titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong bertitah kemelut politik negara tidak boleh dibiarkan berlarutan dan berpanjangan tanpa ada penghujungnya.

“Lantaran itu, setelah melalui semua proses tersebut; dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan; Beta telah mendapati Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin bin Haji Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat dan dengan demikian selayaknya dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Sesungguhnya, beta telah menggalas amanah dengan telus dan adil selaras dengan konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang menjadi tunjang amalan negara kita,” titah Al-Sultan Abdullah. 

Loading...