Mahathir Tepis Rakyat Tidak Sokong Pakatan Harapan

SUBANG JAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad menepis kajian yang dilakukan beberapa pihak mengatakan bahawa sokongan rakyat terhadap kerajaan mula menurun, sebaliknya yakin bahawa rakyat masih bersama dengan Pakatan Harapan (PH).

Perdana Menteri yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, pihaknya sedar ada pihak menyatakan bahawa sokongan rakyat terhadap PH telah menurun daripada 80 peratus kepada 38 peratus.

Namun, beliau menjelaskan, walaupun prestasi parti ketika ini masih lagi didokong dan dihargai rakyat, kerajaan perlu berjaga-jaga agar ia tidak merosot.

“Saya tidak tahu daripada mana mereka buat kajian ini tetapi saya sendiri ramai hendak bersalam dan ambil gambar. Malah, yang lain juga (pemimpin lain) pun begitu, ramai orang hendak ambil gambar dan bersalam.

“Ini bukti sokongan masih ada tetapi bila ada kajian yang bukan kesungguhan tetapi dengan bertanya kepada sebilangan kecil pendapat mereka diambil seolah-olah ia adalah pendapat semua pihak.

“Kita berpendapat ia tidak tepat dan setakat kita tahu sokongan kepada kerajaan masih kuat dan kerajaan terdiri daripada lima parti bergabung masih kekal sebagai kerajaan. Malah, kita boleh berbincang perkara dan masalah dan keputusan dapat diterima semua,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Temu Rapat Bersama Ahli Parlimen Pakatan Harapan dan Warisan Formula 2020: Selangkah ke hadapan bersama Pakatan-Warisan di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir menjelaskan, beliau tidak berasa khuatir akan berpecah sesama mereka. 

“Ini adalah kerajaan PH dan dengan adanya temu rapat ini hubungan antara pemimpin dan wakil rakyat khususnya sudah jadi lebih baik dan masa hadapan ini akan diteruskan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Loading...