Mahathir Tak Tahu Rancangan PAS Usul Undi Percaya

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata beliau tidak tahu mengenai rancangan PAS membawa usul undi percaya terhadapnya pada persidangan Dewan Rakyat bulan depan.

Dr. Mahathir yang ditemui selepas program dialog kepada ahli Dewan Perniagaan dan Industri Perancis Malaysia (CCIFM) di sini, pagi ini, berkata beliau sudah pun menjadi Perdana Menteri ketika ini.

“Saya tidak tahu apa yang mereka (PAS) akan lakukan.

“Saya sudah menjadi Perdana Menteri. Jika mereka mahu sokong saya, terima kasihlah,” katanya apabila ditanya mengenai laporan media semalam bahawa wakil rakyat PAS akan membentangkan usul undi percaya terhadap Dr. Mahathir bulan depan.

Media pada Sabtu lalu melaporkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah itu perlu dalam menangani kemelut peralihan kuasa ketika ini membabitkan Dr. Mahathir, yang dikatakan akan ‘mengganggu kestabilan politik dan ekonomi’.

“Kami melihat ada keperluan untuk Perdana Menteri meneruskan kepimpinannya hingga penggalnya tamat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, dilaporkan berkata partinya juga berkemungkinan menyokong usul undi percaya itu.

Beliau dilaporkan berkata, jika usul undi percaya itu menjadi langkah baik dan memberi manfaat kepada rakyat, maka UMNO tidak akan teragak-agak menyokongnya.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada PAS terlebih dahulu dalam mesyuarat Muafakat Nasional, sebelum membuat keputusan bersama. – BH Online

Loading...