Mahathir, PPBM Diajak Sertai Muafakat Nasional

KUALA LUMPUR – Cubaan meletakkan semua kesalahan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad atas kekalahan calon mereka pada PRK Tanjung Piai Sabtu lalu adalah tanggapan yang salah.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan, kekalahan Karmaine Sardini dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng disebabkan kemarahan rakyat pada PH.

Katanya, ada pihak dalam PH membuat kesimpulan jika peralihan jawatan Perdana Menteri diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, kekalahan itu tidak akan berlaku.

“Itu diagnosis dan priskripsi yang salah. Kekalahan PH disebabkan kebencian rakyat kerana kegagalan, kezaliman, kesombongan, kerakusan, pembohongan PH dan cauvanism DAP,” katanya menerusi ciapan Twitternya hari ini.

Karmaine yang mendapat 10,380 undi kalah dengan majoriti besar iaitu 15,086 undi kepada Jeck Seng yang mendapat 25,466 undi pada PRK Tanjung Piai Sabtu lalu.

Beberapa jam selepas keputusan diumumkan, pengasas bersama PKR, Dr. Syed Husin Ali mengeluarkan kenyataan mendakwa kekalahan itu merupakan satu referendum terhadap PH pimpinan Dr. Mahathir.

Beliau dilaporkan berkata, keputusan itu paling jelas membuktikan rakyat kecewa dan mahu mengajar PH khususnya kepada Dr. Mahathir.

Serentak itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, mengajak Dr. Mahathir dan semua pemimpin PPBM menyertai Muafakat Nasional untuk bersama dengan BN dan Gagasan Sejahtera (GS) melakarkan agenda baharu membela maruah rakyat dan menyelesaikan masalah negara.

Kata beliau, kejayaan BN mengambil semula kerusi Tanjung Piai selepas Parlimen Cameron Highland, bukan perkara mudah, tetapi tidak mustahil boleh berlaku.

“BN dan Muafakat Nasional akan berusaha untuk mengambil semula semua 12 kerusi Parlimen yang dimenangi PPBM pada PRU14 yang lalu.

“Insha-Allah, kita boleh melakukannya, dan kita akan usahakan,” katanya. – MalaysiaGazette

Loading...