Mahathir Pertahankan Kenyataan Melayu Malas

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad mempertahankan kenyataan Melayu Malas yang diucapkan pada Kongres Maruah Melayu, kelmarin.

Perdana Menteri berkata, kenyataannya itu merupakan kebenaran kerana beliau mendapati masih ramai orang Melayu tidak mahu bekerja.

Tegas beliau, hanya orang Melayu yang boleh memperbaiki taraf hidup mereka dan bukan kerajaan atau mana-mana pihak lain.

“Saya dapati ada orang tak nak kerja, maknanya dia tiada minat. Kalau kita tak boleh tegur orang, macam mana kita nak betulkan orang?

“Kalau dia buat salah pun kita puji, itu salah. Saya cuma kata maruah orang Melayu ini akan dipulih semula oleh orang Melayu sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Beliau diminta mengulas gesaan beberapa pihak supaya berhenti mengeluarkan kenyataan provokasi Melayu Malas.

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Stadium Tertutup Melawati Shah Alam, Ahad lalu berucap, masyarakat Melayu ketika ini tidak sanggup mengambil kerja tertentu kerana berasa ia hina serta tidak memberikan pulangan yang banyak, menjadikan pekerjaan sedemikian diisi orang asing.

Jelas beliau, warga asing yang datang ke negara ini untuk mengisi pekerjaan dianggap kotor, sukar dan berbahaya, bagaimanapun tidak selama-lamanya kekal begitu kerana mereka rajin bekerja dan dapat memajukan diri. – UTUSAN ONLINE

Loading...