Mahathir Pertahan Tindakan Lantik Individu Terajui Agensi Kerajaan

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempertahankan tindakannya melantik beberapa individu ke jawatan penting di dalam agensi kerajaan.

Menurutnya, langkah itu diambil sebagai menghargai mereka yang telah membantu Pakatan Harapan (PH) mencapai kemenangan pada pilihan raya umum (PRU-14) lalu.

Katanya, sebelum ini lantikan ke jawatan tertentu sering terlepas kepada mereka yang tidak bekerja untuk menjayakan parti dan ia merupakan satu perkara yang tidak adil.

“Saya amat kecewalah orang yang bertungkus lumus untuk memenangi Pakatan Harapan tetapi mengikut keputusan yang dibuat kita tak boleh lantik mereka walaupun mereka berkelayakan.

“Jadi adakalanya kita pilih juga orang yang ada kaitan dengan parti kerana dia mempunyai kelayakan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mahathir berkata, amalan sama akan tetap diteruskan pada masa akan datang asalkan calon berkenaan mempunyai kaitan membantu PH.

Ujarnya, antara ciri itu ialah individu tersebut perlulah bekerja kuat dalam menjayakan segala agenda dalam parti.

Sebelum ini tular kembali di laman sosial apabila ada pihak memuat naik perkara berkaitan kontroversi pelantikan isteri kepada Setiausaha Politik Mahathir, Datuk Junaidah Kiting sebagai Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia.

Ini kerana, ia jelas bertentangan dengan perjuangan asal PH yang ingin menghapuskan kronisme dan amalan nepotisme selepas mengambil alih pentadbiran negara tahun lalu.

Pelantikan Junaidah itu menjadi kecoh apabila pemilik akaun Twitter, Kekanda Malaya menularkan semula isu tersebut yang telah menjadi kontroversi sejak Januari lalu. – MalaysiaGazette

Loading...