Mahathir Nyatakan Solidariti Kepada China Berhubung COVID-19

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menyatakan solidariti dan sokongan padu Malaysia kepada  China dalam mengendalikan epidemik COVID-19 yang sedang berlaku.

Dalam perbualan telefon lebih setengah jam dengan Presiden China, Xi Jinping semalam, Dr. Mahathir turut menzahirkan keyakinan terhadap setiap usaha yang dilakukan presiden dan kerajaannya berhubung perkara itu.

“Kedua-dua pemimpin bercakap tentang persefahaman bersama dan hubungan erat untuk membendung dan menangani epidemik COVID-19 , serta meminimumkan kesannya,” kata Kementerian Luar dalam kenyataan.

Menurut kementerian itu, Presiden Xi menghargai persahabatan dan bantuan Malaysia, dan memberi jaminan bahawa China mempunyai kekuatan untuk menangani wabak COVID-19 dan akan menjaga rakyat Malaysia dan rakyat negara lain yang kini berada di China sama seperti warganegara mereka.

Kedua-dua pemimpin bersetuju tentang perlunya usaha bersepadu, dengan perdana menteri merujuk kepada langkah bersama yang akan diambil oleh ASEAN dan China untuk memastikan situasi itu terkawal.

“Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk sering berhubung antara satu sama lain dalam memberikan respons terhadap epidemik itu,” kata kenyataan itu.

Media melaporkan lebih 64,000 kes disahkan dan lebih 1,400 kematian dilaporkan di China sejak bermulanya wabak itu.

Terdapat 19 kes COVID-19 atau jangkitan virus korona 2019 disahkan di Malaysia sehingga semalam.

Loading...