Mahathir Nafi Agong Sudah Letak Jawatan

RASMI… Tun. Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan dakwaan kononnya akan berlaku penukaran penyandang jawatan Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh terdekat sebagai sekadar khabar angin.

Menurut perdana menteri yang tertua di dunia itu, Sultan Muhammad V sudah memulakan tugas baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong secara rasmi selepas beristirahat selama dua bulan kerana menjalani rawatan perubatan.

“Saya pun hanya dengar khabar angin tetapi setahu saya, baginda sudah mula bertugas,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di ibu negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi ulas dakwaan tular konon terdapat Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja buat keputusan meminta Sultan Muhammad V menamatkan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong lebih awal atas sebab tertentu.

Mengulas dengan lebih lanjut, Mahathir yang juga Pengerusi PH itu sebaliknya berkata, setakat ini belum ada lagi sebarang pengumuman daripada Istana Negara atau surat rasmi Majlis Raja-Raja berhubung perkara tersebut.

Sultan Muhammad V beristirahat bagi jalani rawatan bermula 2 November sehingga 31 Disember tahun lalu dengan tugas Yang di-Pertuan Agong dipangku timbalan baginda iaitu Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Seri Paduka Baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 13 Disember 2016 sebagai menggantikan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dari Kedah yang telah tamat tempoh penggiliran. – Agensi/Mynewshub.TV

 

Loading...