Mahathir Minta Saya Bubar UMNO – Zahid

DEDAH… Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah angkuh memintanya untuk bubar UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Jelas Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, beliau pernah berjumpa dengan Perdana Menteri tersebut secara peribadi bersama-sama dengan Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden parti.

“Ia (mesej) sangat kuat dan jelas, bahawa kami mesti melompat dan menyertai PPBM, kami mesti membubarkan UMNO,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-72 di ibu negara hari ini.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Ahmad Zahid dalam nada kesal berkata, beliau mungkin tidak berdepan puluhan pertuduhan di mahkamah jika memilih untuk lompat parti.

Malahan beliau dalam nada sindiran, turut memberi peringatan kepada kepimpinan parti pembangkang yang lain terutama komponen Barisan Nasional (BN) bahawa mereka juga mungkin berdepan dengan tindakan sama.

“Pasti bukan hanya pemimpin UMNO akan terus disiasat, dan diheret ke mahkamah, saya hampir pasti pemimpin MIC, pemimpin parti lain (bukan gabungan Pakatan Harapan) pun sama juga (akan terima nasib sedemikian).

“Ada satu sayap (Pemuda UMNO) menyebut presiden parti patut ambil cuti sehingga kes selesai. Kes akan selesai mungkin tiga, empat tahun, penggal Presiden tiga tahun sahaja. No way (jangan harap),” tegas Ahmad Zahid.

Loading...