Mahathir Luang 45 Minit Dengan Kit Siang Bincang ‘Isu Nasional’

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meluangkan masa selama 45 minit untuk bertemu dengan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang di pejabatnya hari ini.

Perkara itu dikongsi Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong di akaun Twitter dan Instagramnya.

Menurut Chin Tong, kedua-dua pemimpin itu berbincang mengenai isu-isu nasional untuk memastikan “Malaysia berjaya, cemerlang dan hebat sebagai sebuah negara.”

“Kit Siang bertemu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir pagi ini, dan berbincang panjang lebar tentang isu-isu nasional.

“Pakatan Harapan dipimpin dan dipadu oleh mereka yang mahu melihat Malaysia berjaya, cemerlang dan hebat sebagai sebuah negara!” tulis Pengerusi DAP Johor.

Sementara itu, Malaysiakini melaporkan Kit Siang sebagai berkata ia merupakan pertemuan empat mata pertama mereka sejak pilihan raya umum lalu, namun tidak mendedahkan apa yang dibincangkan.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Kit Siang mendesak kerajaan agar bertindak terhadap individu yang terlibat dalam dakwaan cuba menutup skandal 1MDB. – Astro AWANI