Mahathir Kesal Melayu Dilabel Rasis

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan tuduhan bahawa orang Melayu dan bumiputera di negara ini bersikap rasis apabila mengadakan perhimpunan bagi membincangkan nasib dan masa depan mereka.

Menerusi catatan terbaharu dalam blog Chedet hari ini, Dr. Mahathir berkata, gambaran itu memperlihatkan bahawa orang Melayu dan bumiputera seolah-olah tidak boleh berjuang untuk bangsa mereka sendiri.

Menurutnya, keadaan itu berbeza dengan kaum lain yang boleh mengadakan perhimpunan untuk membincangkan nasib mereka tetapi apabila orang Melayu berbuat demikian, mereka dilabel sebagai rasis.

“Apabila bekas tanah jajahan Eropah memperoleh kemerdekaan, ramai yang mendiskriminasi bukan penduduk asal. Ada yang terpaksa meninggalkan negara ini. Ada yang diserang dengan ganas.

“Perkara itu tidak jadi di negara ini. Bukan penduduk asal diterima sebagai warganegara, malah satu juta bukan penduduk asal diberi kewarganegaraan walaupun mereka tidak layak.

“(Oleh demikian) saya rasa kecewa apabila memikirkan bahawa penduduk asal tidak diwajarkan berkumpul di negara mereka sendiri tanpa dituduh sebagai perkauman dan sudah tentu saya akan dilabel sebagai rasis kerana menulis artikel ini,” katanya menerusi catatan bertajuk ‘Kongres Maruah Melayu’ di blog peribadinya itu.

Mengulas lanjut, Dr. Mahathir turut mendedahkan bahawa beliau telah dinasihatkan untuk tidak menghadiri Kongres Maruah Melayu yang diadakan di Stadium Malawati Shah Alam awal bulan lalu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, kehadirannya pada kongres berkenaan atas dasar seorang Melayu.

“Sudah jelas mereka yang hadir pada perhimpunan itu mahu membincangkan mengenai nasib dan masa depan orang Melayu serta kemungkinan kehilangan maruah atau apa jua maksud yang berkaitan.

“Seperti biasa, memang ada pandangan yang dikira agak ekstrim tetapi secara keseluruhannya peserta kongres itu bersifat rasional,” katanya.

Menurutnya, sebagai sebuah negara berbilang kaum dan mengamalkan sikap toleransi antara satu sama lain, sesuatu yang normal dan tidak menyalahi undang-undang bagi mana-mana kaum untuk mengadakan perhimpunan khusus untuk golongan mereka.

Terdahulu, kehadiran Dr. Mahathir di Kongres Maruah Melayu yang dianjurkan empat universiti tempatan di Shah Alam, 6 Oktober lalu mendapat reaksi pelbagai khususnya daripada rakan parti dalam Pakatan Harapan (PH).

Loading...