Mahathir Jumpa 26 Ahli Parlimen Bersatu Pagi Ini

KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad tiba di Bangunan Yayasan Al-Bukhary pada jam 9.10 pagi ini untuk bertemu dengan 26 ahli Parlimen dari parti tersebut.

Beliau yang menaiki kereta jenis Mercedes dengan nombor pendaftaran Rimau 1925 itu mula memasuki pekarangan yayasan disusuli beberapa buah kenderaan lain termasuk kereta peronda.

Difahamkan Dr. Mahathir yang juga Perdana Menteri Interim itu akan bertemu dengan semua ahli Parlimen Bersatu untuk membincangkan perkembangan terkini parti serta pembentukan kerajaan baharu.

Selain itu, isu kemungkinan meletakkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri dijangka menjadi perbincangan utama pada hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir memberitahu beliau terbuka dan menerima sekiranya parti mencalonkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Jika semua orang pilih Muhyiddin, saya ok.

“Sekiranya mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat, maka beliau boleh dilantik sebagai Perdana Menteri dan kemudiannya membentuk kabinet sendiri,” katanya. – Sinar Harian

Loading...