Mahathir Jamin Kekalkan Nama Malaysia Airlines Berhad

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan nama Malaysia Airlines akan terus dikekalkan sekiranya syarikat penerbangan nasional itu dijual atau melalui kerjasama strategik dengan syarikat-syarikat penerbangan lain.

Selain nama Malaysia Airlines, kerajaan juga mempertimbangkan nama-nama lain yang berkaitan dengan Malaysia.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak boleh bertindak memulihkan syarikat penerbangan itu sehingga namanya terhapus.

“Terdapat banyak cadangan daripada syarikat-syarikat bahkan kumpulan-kumpulan pengusaha tertentu. Tetapi, pada masa ini, tidak dapat keputusan sama ada jual atau kerjasama dengan syarikat-syarikat lain.

“Tetapi, kita ambil bahagian dalam pemulihan Malaysia Airlines. Sesuatu yang kita ingin kekalkan ialah nama syarikat ini mesti ada kaitan dengan negara kita iaitu Malaysia,” katanya dalam sesi pertanyaan-pertanyaan lisan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang bertanyakan mengenai sama ada kerajaan sudah kenal pasti sama ada Malaysia Airlines dijual atau dijalankan kerjasama.

Kerajaan melalui Khazanah Nasional yang merupakan pemilik utama Malaysia Airlines sehingga kini masih belum mencapai kelulusan berhubung pelan perniagaan syarikat penerbangan tersebut.

Namun, pada 27 Mei lalu, Malaysia Airlines Bhd. (MAB) dan Japan Airlines (JAL) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meneruskan perjanjian perniagaan bersama.

Kerjasama itu bagi meningkatkan keselesaan pelanggan dengan kualiti perkhidmatan kedua-dua syarikat bagi penerbangan antara Malaysia dan Jepun.

MAB dan JAL telah memfailkan permohonan daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun bagi mendapatkan pengecualian atau imuniti daripada undang-undang ‘antitrust’.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bertanyakan sama ada kakitangan Malaysia Airlines akan digugurkan seiranya syarikat itu dijual atau bekerjasama, Dr. Mahathir menjawab, kerajaan berharap pekerja-pekerjanya tidak akan digugurkan.

Namun, katanya, ia terpulang kepada keputusan kakitangan sedia ada sama ada untuk kekal berada dalam syarikat itu atau tidak.

“Kita berharap ia diambil dan tidak gugurkan pekerja-pekerja Malaysia Airlines. Tetapi, kalau mereka yang pilih untuk bekerja dengan syarikat lain, itu keputusan mereka,” ujarnya.

Loading...