Mahathir Enggan Dedah Perbincangan Sultan Johor

BERAHSIA… Tun Dr. Mahathir Mohamad enggan dedah isu dibincangkan dalam pertemuannya dengan Sultan Johor hari ini tetapi mengesahkan ia tiada kaitan pelantikan Yang di-Pertuan Agong.

Jelas Perdana Menteri, pertemuan empat mata bersama Sultan Ibrahim Sultan Iskandar  di Istana Bukit Serene di sini berjalan dengan baik dan banyak masalah terutamanya soal permasalahan rakyat dizahirkan kepada baginda.

“Yang itu soal raja-raja, tidak ada kena mengena dengan saya. Kita hanya bincang masalah yang kita hadapi dan saya cerita berkenaan dengan rakyat terhadap Tuanku dan dia (Sultan Johor) terima baik.

“Dan kita bersetuju supaya di masa hadapan tidak ada masalah dan saya boleh berhubung dengan Tuanku,” kata Mahathir kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) dekat Johor Bahru hari ini.

Ketika ditanya lebih lanjut berhubung pertemuan pertama Mahathir dengan Sultan Ibrahim selepas dilantik sebagai ketua kerajaan buat kali kedua tahun lalu, beliau enggan mendedahkan butiran perbincangan selama 90 minit itu.

“Ini hanyalah perbualan antara kami berdua,” katanya merujuk sama ada sebarang isu ‘panas’ dibangkitkan dengan dakwa beliau tidak akan bercerita mengenainya kerana isi perbincangan tersebut hanya antara mereka berdua.

Umum maklum, hubungan Mahathir dan Sultan Johor agak bermasalah tahun lalu apabila baginda secara terbuka seru rakyat tidak percaya kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu yang disifatkan sebagai orang tua nyanyuk.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Galeri Bukit Kepong di Muar pada ulang tahun peristiwa berdarah serangan kejam pengganas komunis terhadap balai polis tersebut yang kemudian tular menerusi media sosial.

Situasi itu bertambah serius apabila Mahathir sindir Sultan Ibrahim berhubung projek hartanah tambakan laut, Forest City selain bertindak ‘gadai’ Pulau Batu Puteh kepada Singapura selepas PH menang Pilihan Raya Umum.

Terdahulu, Sultan Johor berkenan memandu sendiri model awal kereta keluaran Perusahaan Automobil Nasional, Proton Saga pertama dengan nombor pendaftaran Proton 1 untuk menghantar pulang Mahathir terus ke LTAS.

Kenderaan berwarna biru tersebut adalah pemberian Mahathir kepada ayahanda Sultan Ibrahim, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail yang ketika itu adalah Yang di-Pertuan Agong. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...