Mahathir Dakwa Konon Agong Sedia Ampun Anwar?

26

TUN Dr. Mahathir Mohamad berkata Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, menyatakan kesediaan baginda untuk memberi pengampunan segera kepada Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang menjalani hukuman penjara.

“Yang di-Pertuan Agong telah menyatakan baginda bersedia untuk memberi pengampunan segera kepada Datuk Seri Anwar, jadi kami akan menyiapkan proses dokumen.

“Ia adalah pengampunan secara penuh, yang juga bermaksud beliau bukan sahaja diberi pengampunan tetapi juga akan dibebaskan dengan segera apabila mendapat pengampunan.

“Jadi selepas itu, beliau bebas untuk menyertai politik,” kata Mahathir dalam sidang media di ibu negara. Namun pihak Istana Negara setakat ini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kesahihan perkara itu.

Menjawab soalan lain, beliau berkata untuk menyertai barisan Kabinet, Anwar perlu menjadi anggota Parlimen terlebih dahulu, “jadi proses ini akan mengambil masa yang panjang.


“Sama ada Anwar akan segera menyertai Kabinet atau tidak akan diputuskan bila tiba masanya,” kata Mahathir. Memohon pembebasan dan pengampunan bagi Anwar adalah satu daripada janji dalam manifesto pilihan raya PH.

Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas disabitkan kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya. – BERNAMA