Mahathir, Anwar Tiada Asas Kuat Jadi PM – Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Kedua-dua pemimpin utama Pakatan Harapan (PH), baik Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahupun Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini tidak mempunyai asas kuat menjadi Perdana Menteri.

Bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Isham Jalil mendakwa, pandangan itu berasaskan faktor kedua-dua pemimpin itu tidak boleh membuktikan kepada rakyat dan meyakinkan Yang di-Pertuan Agong bahawa salah seorang daripada mereka mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen.

Menurutnya, sekiranya Mahathir dan Anwar pun gagal, sesiapapun dalam kalangan ahli-ahli Parlimen kerajaan dipilih oleh Majlis Presiden PH juga dilihat tentunya tidak akan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri.

“Selagi ini berlaku, wakil-wakil rakyat terutama ahli-ahli Parlimen PH akan sibuk berpolitik sahaja dan berunding di bawah meja dan di belakang pintu serta tiada masa untuk mentadbir negara dalam keadaan ekonomi dan sosial negara sedang menghadapi masa getir.

“Ini amat tidak baik untuk rakyat dan negara dan Barisan Nasional (BN) mengulangi, langkah terbaik menyelesaikan kemelut ini adalah pembubaran Parlimen supaya kerajaan dan Perdana Menteri baharu dapat dipilih semula oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan itu, Isham menjangkakan Dr. Mahathir berkemungkinan besar tidak membenarkan usul undi percaya kepimpinan beliau dibentangkan di Dewan Rakyat pada persidangan Parlimen bulan hadapan kerana takut kalah.

Dakwanya lagi, Dr. Mahathir juga diyakini akan terus berdegil dan enggan melepaskan jawatan dengan tidak membenarkan undi percaya dibuat kerana beliau tidak yakin mempunyai cukup sokongan daripada sekurang-kurangnya 112 ahli Parlimen. 

“Dr. Mahathir akan terus berpaut kepada kerusi Perdana Menteri meskipun mengetahui hakikat kegagalan beliau mendapatkan sokongan ahli-ahli Parlimen.

“Sekiranya senario ini berlaku, ia menunjukkan isyarat jelas bahawa Dr. Mahathir sendiri tidak yakin tentang tahap sokongan majoriti ke atas dirinya.

“Perkara sama juga akan berlaku kepada (Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri) Anwar Ibrahim yang juga tidak mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat,” katanya. – Sinar Harian

Loading...